Charles Frump Dilantik Pengarah Urusan Baharu Volvo Car Malaysia
Volvo Car Malaysia telah mengumumkan pelantikan Charles Frump sebagai Pengarah Urusan baharu menggantikan Nalin Jain, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Urusan dari tahun 2019 hingga 2020. Frump akan meneruskan tanggungjawab Jain dalam mengawal selia keseluruhan operasi syarikat dan memacu visi elektrifikasi Volvo di Malaysia.
Frump menyertai Volvo Car Malaysia dari Volvo Auto India, di mana beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan sejak tahun 2017 dan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan bahagian pasaran dan pendapatan Volvo dalam segmen kereta mewah yang kompetitif di India.
Hubungan Frump dengan Volvo Cars bermula pada tahun 2009, di mana beliau berkhidmat sebagai Pengarah Pemasaran di Volvo Car Japan. Berbekalkan lebih dari 20 tahun pengalaman automotif dalam pasaran berbeza dan unik di seluruh Asia, Amerika Syarikat dan Eropah, Frump juga memainkan peranan di peringkat global, serantau, dan tempatan dalam bidang Pemasaran, Jualan, Perkhidmatan Pelanggan dan Pengurusan Rangkaian.
Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia yang baru dilantik berkata: “Saya teruja untuk memulakan babak baharu perjalanan saya dengan Volvo di pasaran baharu. Saya melihat Malaysia sebagai persimpangan kepada tempat tempat yang pernah saya lalui, dan saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan pasukan tempatan secara individu untuk membina kekuatan kami.”
Frump memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pemasaran Antarabangsa dari UCLA Anderson School of Management, Los Angeles, Amerika Syarikat. Beliau menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang ekonomi dan matematik dari St. Olaf College, Minnesota, Amerika Syarikat.
Pelantikan Frump adalah susulan daripada pengumuman global Volvo untuk menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya pada tahun 2030. Baru-baru ini, Volvo Cars melancarkan kempen ‘Ultimate Safety Test’ untuk mengisytiharkan perubahan iklim sebagai cabaran keselamatan terbesar yang dihadapi manusia hari ini.
Sebagai manifestasi komitmennya terhadap kelestarian dan elektrifikasi di Malaysia, Volvo Car Malaysia telah mengelektrifikasi kenderaan mereka sepenuhnya pada bulan Februari dengan pelancaran XC40 PHEV dan menjadi jenama automotif pertama di negara ini yang mempunyai barisan PHEV lengkap untuk semua model kereta.
No Comment