Land Rover Defender Dikesan Sedang Diuji Di Ara Damansara
Nampaknya Land Rover Defender baharu sah akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Ini kerana ia baru-baru ini dikesan sedang menjalani ujian di sekitar kawasan Sime Darby Motors City di Ara Damansara, Petaling Jaya. Untuk makluman, wakil pengedar rasmi Jaguar Land Rover di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion mempunyai bilik pameran dan ibu pejabat di hab automotif itu.
Melihat kepada gambar-gambar ini, Defender yang diuji masih memakai pelekat penyamaran namun bentuknya jelas menunjukkan yang ia adalah varian empat pintu atau dikenali secara rasmi sebagai Defender 110.
Sementara itu, varian dua pintu atau Defender 90 tidak kelihatan namun menurut laman web Jaguar Land Rover Malaysia, ia juga akan ditawarkan untuk pasaran tempatan. Kedua-duanya boleh didapati dalam lima varian iaitu asas, S, SE, HSE dan X, dengan enjin petrol dalam konfigurasi P300 atau P400 MHEV.
Versi P300 mempunyai enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 300 PS dan 400 Nm, manakala P400 MHEV pula menggunakan sistem hibrid ringkas yang merangkumi enjin turbo 3.0-liter enam silinder dengan 400 PS dan 550 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda dengan ‘transfer case’ dua kelajuan.
Dari segi kelengkapan, Defender didatangkan standard dengan Terrain Response, sistem infohibur Pivi Pro dengan skrin sentuh 10 inci serta sistem bantuan pemandu seperti kamera 3D, 360 Parking Aid, Wade Sensing, Cruise Control, Speed Limiter, Lane Keep Assist, Emergency Braking, Traffic Sign Recognition dan Adaptive Speed Limiter. Sudah tentu, semakin tinggi varian, semakin banyak kelengkapan tambahan yang diberikan.
Harga masih belum diumumkan. Untuk rujukan, Defender 90 S P300 dijual pada harga £48,910 (RM285,098) di United Kingdom.
No Comment