Scania XT Rigid Digunakan Mansang Untuk Mengangkut Vaksin Covid-19 Ke Daerah Terpencil Sarawak
Mansang Logistics Sdn Bhd (Mansang) berjaya mengangkut vaksin Covid-19 kepada petugas barisan hadapan di seluruh Sarawak dalam trak kejur (rigid) Scania New Truck Generation (NTG) XT yang dilengkapi dengan kawalan suhu.
Tugas yang amat penting ini telah disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Mansang. Pengarah Urusan Mansang, Alex Lai Sian Ann (Alex), telah mengambil tanggungjawab ini untuk menghantar vaksin secara peribadi ke semua lokasi yang dijadualkan pada setiap hari.
“Kami di Scania telah dan akan terus memberi sokongan dari segi uptime kepada Mansang Logistic dalam usaha menjalankan tugas yang amat kritikal ini sebagai perkhidmatan kepada negara kita. Kami sangat bangga menjadi sebahagian daripada peristiwa penting ini di Sarawak bersama Alex,” kata Phang Yee Fong, Pengurus Serantau untuk Pantai Timur, Sabah & Sarawak, Scania Southeast Asia.
Mansang disyorkan kerana ia merupakan salah satu daripada hanya beberapa syarikat yang dapat mengendalikan prosedur pengangkutan yang memerlukan ketelitian tinggi ini. Mengekalkan suhu vaksin yang diperlukan adalah tugas yang dapat dikendalikan dengan mudah oleh trak jenis kejur berbadan kotak seperti Scania NTG XT.
Vaksin akan diambil setiap hari dari KKM dan dihantar terus ke lokasi petugas barisan hadapan yang ditetapkan – hospital dan pusat vaksinasi di seluruh Sarawak. Ini dilakukan melalui kerjasama rapat dengan Polis DiRaja Malaysia.
“Saya berasa selamat dan selesa ketika memandu trak kejur Scania NTG XT untuk menghantar vaksin kerana trak ini dilengkapi dengan Sistem Brek Elektronik (EBS), dan akan memberikan uptime yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan. Jarak paling jauh yang kami lalui dalam sehari adalah hampir 1,000 kilometer, dan penjimatan bahan api yang disediakan oleh Scania NTG bermakna kami tidak perlu bimbang akan kehabisan bahan api sebelum sampai ke stesen minyak yang berikutnya,” kata Alex.
Trak kejur Scania NTG XT dibina dan dibentuk untuk memberikan pemilik trak kecekapan bahan api yang lebih baik sambil mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2). Ini adalah kerana ia dilengkapi dengan ‘powertrain’ yang canggih serta penyelesaian aerodinamik yang memberikan penjimatan bahan api sebanyak 3%.
Scania New Truck Generation XT disesuaikan untuk menahan persekitaran yang mencabar, menjamin ‘uptime’ selain meningkatkan produktiviti dengan bahagian luar yang lebih lasak dan lebih kuasa. Bumper keluli, perisai pelindungan, dan peranti tunda bagi mengendali semua halangan dengan masa operasi yang maksimum. Kabin trak juga mempunyai tempat duduk boleh diselaraskan berhampiran pintu, alat panel ergonomik, dan kaca depan yang besar dengan pandangan luas yang membolehkan pemandu lebih mudah beroperasi dalam persekitaran yang selesa dan selamat.
“Trak kejur Scania NTG XT adalah salah satu trak paling selamat dan paling dipercayai yang pernah saya kendalikan sejak memulakan perniagaan Mansang sebagai pemandu pada tahun 2010. Semua ciri trak memastikan bahawa Mansang berupaya menghantar vaksin ke semua destinasi yang dijadualkan dengan selamat dan tepat pada masanya,” kata Alex.
No Comment