Mercedes-Benz C-Class All-Terrain Adalah Gabungan Wagon Dan SUV
Dari segi praktikaliti ruang dalaman dan keselesaan, tidak dinafikan yang kenderaan jenis wagon sememangnya mempunyai kelebihan dalam aspek-aspek berkenaan. Namun, tidak seperti SUV, ia bukanlah kenderaan yang sesuai untuk pemanduan off-road. Oleh itu, Mercedes-Benz telah memperkenalkan C-Class All-Terrain yang menggabungkan kelebihan wagon dan SUV.
Menggunakan C-Class Estate sebagai asas, model terbaharu ini tampil dengan sistem suspensi yang lebih tinggi serta kemasan plastik hitam di sekeliling badan – ‘resepi’ sama yang digunakan oleh E-Class All-Terrain yang diperkenalkan pada 2016.
Jika dibandingkan dengan model asas, ukuran panjang versi All-Terrain bertambah sebanyak 4 mm, manakala penggunaan kemasan plastik hitam berkenaan secara tidak langsung menjadikan ia lebih lebar sebanyak 31 mm. Selain itu, tingginya turut bertambah sebanyak 40 mm.
Model ini menggunakan rim 17 inci yang dibalut tayar 225/55, namun rim 18 inci dengan tayar 245/45 dan rim 19 inci dengan tayar 245/40 turut ditawarkan sebagai opsyen. Kapasiti but masih sama iaitu 490 liter atau 1,510 liter dengan semua tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.
Menurut Mercedes-Benz, sistem suspensi terdiri daripada peredam pasif yang ditala untuk keselesaan dan juga kestabilan. Ketahanannya turut dipertingkatkan dengan ‘steering knuckle’ yang lebih besar pada bahagian hadapan.
Di samping mod-mod pemanduan sedia (Eco, Comfort, Sport dan Individual), C-Class All-Terrain mendapat dua mod pemanduan tambahan iaitu Offroad dan Offroad+ dengan ciri Downhill Speed Regulation untuk membolehkan pemandu menuruni cerun yang curam dengan lebih mudah.
Selain itu, ia juga mempunyai kapasiti menunda sehingga 1,800 kg. Pelanggan boleh mendapatkan Parking Package yang merangkumi kamera 360 darjah untuk memudahkan pengemudian. Sistem infohiburnya pula mempunyai paparan khas yang memaparkan sudut condong, stereng, geokoordinat dan kompas.
Untuk enjin, C-Class All-Terrain ditawarkan dengan enjin petrol M254 dan enjin diesel, kedua-duanya dilengkapi dengan sistem hibrid ringkas dengan Integrated Starter Generator (ISG) dan sistem elektrikal 48 volt. Sesuai dengan statusnya sebagai model All-Terrain, ia juga didatangkan standard dengan sistem pacuan semua roda 4Matic.
No Comment