Berita Auto

Nissan Z Hadir Dengan Enjin V6 Twin-Turbo, Transmisi Manual

Ramai yang berkata zaman 90-an adalah zaman kegemilangan kereta sport Jepun atau JDM, namun jika dilihat, sekarang pun tidak kurang hebatnya. Toyota Supra masih ada, walaupun tidak sehebat yang dahulu, begitu juga dengan Honda Civic Type R serta Toyota 86 dan kembarnya, Subaru BRZ.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-45

Kini, satu lagi model telah kembali bagi menyerikan ‘scene’ JDM iaitu Nissan Z. Ya, pengganti 370Z ini tidak lagi menggunakan nombor pada namanya. Namun, bukan itu sahaja pembaharuan besar yang dibawa olehnya.

Di bawah hud, terdapat enjin 3.0-liter twin-turbo V6 (VR30DDTT) yang menghasilkan 400 hp pada 6,400 rpm dan 475 Nm pada 5,600 rpm. Dengan peningkatan sebanyak 68 hp dan 108 Nm berbanding model terdahulu, model ini bukan sahaja lebih responsif, malah mampu mencapai kelajuan 96 km/h 15 peratus lebih cepat.

Pelanggan mempunyai dua pilihan transmisi yang memacu roda belakang. Transmisi manual enam kelajuan didatangkan secara standard, lengkap dengan klac berprestasi tinggi Exedy, aci pemacu gentian karbon dan ciri SynchroRev Match. Sebagai alternatif, Nissan turut menawarkan transmisi automatik sembilan kelajuan yang mempunyai nisbah yang lebih luas dan ciri Launch Control.

Z menggunakan suspensi ‘double wishbone’ aluminium di hadapan dan sistem ‘multi link’ di belakang, berserta dengan penyerap hentak monotube dengan ukuran diameter yang lebih besar. Menurut Nissan, ini mengurangkan daya redaman sebanyak 20 peratus, sekaligus mengurangkan impak ketika memandu di atas permukaan kurang rata.

Sementara itu, penggunaan stereng kuasa elektronik dan tayar yang lebih lebar pula membantu meningkatkan daya G sebanyak 13 peratus di selekoh.

Dari segi penampilan, rekaan bonet yang panjang dan but yang pendek membuatkan Z kelihatan tidak ubah seperti 240Z. Lampu hadapannya juga diinspirasikan oleh model itu, manakala lampu belakang yang berbentuk segi empat pula adalah daripada 300ZX.

Bergantung kepada varian, ia dilengkapi dengan rim 18 inci dengan tayar Yokohama Advan Sport atau rim aloi ringan RAYS berukuran 19 inci dengan tayar Bridgestone Potenza S007.

Nissan Z

Masuk ke dalam, satu-satunya elemen klasik yang dibawa oleh model baharu ini adalah tolok meter ‘tiga beradik’ di atas papan pemuka yang menyediakan bacaan untuk boost, turbo dan volt. Elemen-elemen lain semuanya moden, termasuk skrin sentuh berukuran 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta panel instrumen digital berukuran 12.3 inci yang mempunyai paparan berbeza mengikut mod yang dipilih iaitu Normal, Enhanced dan Sport.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, Z boleh didapati dalam varian Sport dan Performance. Nissan juga akan menawarkan model edisi khas Proto Spec yang diinspirasikan oleh Z Proto yang diperkenalkan pada tahun lalu. Bagaimanapun, model tersebut terhad kepada 240 unit sahaja.

Previous post

Jualan Toyota Corolla Cecah Angka 50 Juta Unit Di Seluruh Dunia

Next post

Mercedes-Benz C-Class All-Terrain Adalah Gabungan Wagon Dan SUV

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *