Proton Iriz Dan Persona 2022 Dilancarkan – Harga Dari RM41k
Proton telah melancarkan Iriz dan Persona versi 2022 yang hadir dengan reka bentuk dan pilihan warna yang lebih segar, serta ciri-ciri keselesaan dan keselamatan yang diperbaharui. Bukan itu sahaja, Iriz juga mendapat varian baharu yang dikenali sebagai Active.
Perubahan luaran bermula dengan bampar reka bentuk baru dan gril corak Infinite Weave dan Ethereal Bow yang telah dikemaskan. Pada Iriz, ia diberi profil baharu dan ditampilkan dalam warna merah manakala Persona diberikan sentuhan warna krom bagi menonjolkan lagi logo Proton yang terbaru.
Penampilan bagi semua model 2022 juga termasuk lampu hadapan LED yang mempunyai fungsi automatik, roda aloi bersaiz 16 inci, bumbung hitam dan juga lampu gabungan belakang yang baharu.
Sementara itu, Iriz Active pula tampil lebih sporty dengan rekaan bampar yang unik, serta kemasan hitam yang menghiasi bahagian bawah badan dari bampar hadapan, skirt sisi hingga ke bampar belakang. Turut disertakan adalah bumbung hitam dan rel bumbung. Warna baru yang diperkenalkan adalah Citric Orange dan Passion Red untuk Iriz dan Space Grey untuk Persona.
Perubahan paling ketara pada bahagian dalaman kedua-dua model ini adalah penambahan unit infotainment 8-inci ‘terapung’ dengan fungsi arahan suara yang kini mampu mengawal penyaman udara dan tingkap sebelah pemandu.
Lubang udara turut direka semula dan kawalan penyaman udara kini mempunyai paparan digital serta penapis udara N95. Ciri kebolehgunaan pula dipertingkatkan dengan perehat tangan pada konsol tengah baharu serta ruang penyimpanan yang kini lebih senang diguna.
Bahagian dalaman Iriz Active menampilkan sulaman Active berwarna merah pada kerusi hadapan, trim pintu dan karpet, serta jahitan merah pada stereng dan tali pinggang keledar. Turut disertakan adalah set pedal sukan aluminium.
Sementara itu, varian tertinggi Persona iaitu Premium mendapat tempat duduk dan trim pintu ‘leatherette’ berwarna coklat, sama seperti yang diperkenalkan pada X70.
Dari segi kemudahan, Iriz dan Persona kini hadir dengan enam slot USB, tiga di bahagian hadapan, dua di belakang dan satu di cermin pandang belakang bagi menghidupkan kamera pemuka (dashcam). Turut disertakan adalah kamera dan sensor parkir dan butang ECO mod.
Iriz dan Persona 2022 kini boleh ditempah secara dalam talian menerusi laman web rasmi Proton. Harga bagi kedua-dua model adalah seperti berikut:
Berikut pula adalah perbandingan spesifikasi varian-varian Iriz dan Persona:
No Comment