Range Rover Sport SVR Ultimate Edition Tampil Lebih Bergaya
Walaupun dalam spesifikasi standard, Range Rover Sport SVR bukanlah sebuah SUV yang boleh digelar sebagai ‘membosankan’. Malah, dengan enjin supercharged V8 dan kit badan yang agresif, tidak syak lagi ia adalah model paling menonjol pernah dihasilkan Land Rover. Namun ini tidak menghalang syarikat itu daripada meningkatkan penampilannya menerusi Ultimate Edition.
Perkara pertama yang anda akan perasan tentang model edisi khas ini adalah warnanya yang dihasilkan secara eksklusif oleh divisyen Special Vehicle Operations (SVO). Pelanggan boleh memilih antara Marl Grey Gloss atau Maya Blue Gloss, yang mana kedua-duanya mempunyai partikel serpihan kaca untuk efek kilauan lebih tinggi. Mereka yang ingin tampil serba hitam pula boleh mendapatkan warna Ligurian Black Satin.
Tidak kira warna apa yang dipilih, Sport SVR Ultimate Edition didatangkan dengan bumbung, cermin sisi dan gril berwarna Gloss Narvik Black, serta perincian Fuji White pada tulisan ‘Range Rover’ dan lubang udara sisi. Melengkapkan imejnya adalah rim berukuran 22 inci.
Untuk ruang dalaman pula, Range Rover menyertakan lencana krom SV Bespoke pada tiang B, pedal penukar gear berwarna hitam yang diperbuat daripada logam dan kemasan ambang pintu bercahaya. Sementara itu, tempat duduk Performance pula dibalut dengan kulit Windsor dan fabrik suede.
Sayangnya, model ini tidak diberikan sebarang penambahbaikan mekanikal. Mungkin ia tidak memerlukannya, kerana enjin supercharged 5.0-liter V8 sedia ada sudah cukup kuasa dengan kuasa berjumlah 575 PS dan 700 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 283 km/j.
No Comment