Range Rover Velar Dikemas Kini Untuk Tahun 2021
Land Rover telah mengumumkan naik taraf model tahun 2021 untuk Range Rover Velar, yang menyaksikan SUV mewah itu menerima beberapa pilihan warna baharu, model edisi terhad serta ciri-ciri keselesaan yang terkini.
Range Rover Velar Auric Edition
Dinamakan sempena perkataan Latin untuk emas iaitu Aurum, Velar Auric Edition secara asasnya adalah varian R-Dynamic S yang dihiasi dengan trim Auric Atlas pada bahagian gril, lencana, bonet, pintu dan lubang angin dapra hadapan. Terdapat tiga warna badan untuk dipilih iaitu Charente Grey (eksklusif untuk model ini sahaja), Ostuni Pearl White dan Santorini Black.
Melengkapkan imej mewahnya adalah rim aloi Mercurial Gloss Sparkle Silver berukuran 20 inci dan cermin privasi. Pelanggan bagaimanapun boleh memilih untuk mendapatkan rim Pincer 22 inci dan warna kontras untuk bumbung.
Di dalam, Land Rover menyediakan dua pilihan upholsteri iaitu kulit Windsor atau fabrik premium Kvadrat yang lestari. Di samping sistem infohibur Pivi Pro yang didatangkan secara standard, Velar Auric Edition turut didatangkan dengan Paparan Pemandu Interaktif (Interactive Driver Display).
Model ini ditawarkan dalam varian enjin empat dan enam silinder, termasuk P400e Plug-in Hybrid yang mempunyai jarak pemanduan elektrik sejauh 53 km dan pelepasan CO2 49 g/km.
Lebih banyak warna untuk dipilih
Menerusi seleksi SV Bespoke Premium Palette, pemilik Velar 2021 kini boleh mendapatkan warna-warna yang eksklusif seperti Tourmaline Brown, Amethyst-Grey Purple dan Petrolix Blue. Jika ini tidak cukup istimewa, mereka boleh mencipta warna pilihan mereka sendiri menerusi perkhidmatan SV Bespoke Match to Sample.
Ciri-ciri lain
Untuk model tahun 2021, Velar didatangkan dengan sistem Cabin Air Purification Plus yang merupakan peningkatan dari sistem Cabin Air Ionisation dengan penapisan PM2.5 sebelum ini. Ia berfungsi dengan menyalurkan udara segar dari luar ke dalam kabin apabila CO2 berada di luar tahap yang boleh diterima.
Purify Cycle turut ditambah sebagai ciri standard, membolehkan pemandu menjadualkan kitaran pembersihan udara di dalam kabin bagi memastikan udara sentiasa segar sebelum memulakan perjalanan. Pemilik juga boleh memantau kualiti udara luaran dan dalaman menerusi skrin sentuh dan mengaktifkan mod Purify apabila perlu.
Turut dikemas kini adalah sistem bantuan pemandu ADAS, yang kini merangkumi kamera belakang dan Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist. Ciri ini memberikan keselesaan kepada pemandu, terumanya ketika perjalanan jarak jauh, dengan membantu mengawal stereng, pecutan dan brek bagi memastikan kenderaan sentiasa berada di tengah lorong dan jarak dengan kenderaan di hadapan terjaga.
Bagi sistem infohibur pula, Land Rover mengesahkan yang Velar akan mendapat Apple CarPlay dan Android Auto menerusi kemas kini udara (Over-the-Air) yang seterusnya.
Harga
Harga Velar 2021 bermula dari £45,925 (RM265,135) di United Kingdom, manakala Velar Auric Edition kini boleh didapati di Jerman pada harga €70,085 (RM347,424).
No Comment