Range Rover Velar P250 R-Dynamic Versi 2021 Kini Di Malaysia
Range Rover Velar 2.0L P250 R-Dynamic telah dikemas kini untuk model tahun 2021. SUV mewah dari Solihull itu kini hadir dengan rekaan dalaman yang dipertingkatkan serta beberapa kelengkapan baharu.
Walaupun rekaan luaran kelihatan sama sahaja seperti sebelum ini, rekaan bahagian dalama Velar kini tampil lebih menarik dengan tombol gear dan stereng baharu dengan butang pintar dan ciri pengesanan tangan.
Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuklah skrin sentuh berkembar berukuran 10 inci, paparan pemandu interaktif 12.3 inci, papar pandu (head up display) berwarna dan ciri pencahayaan kabin. Skrin terbabit memberikan akses kepada sistem infohibur Pivi Pro yang boleh disambungkan kepada dua telefon secara serentak.
Satu lagi ciri hebat yang terdapat pada Velar adalah sistem Active Road Noise Cancellation (ARNC). Ia didatangkan bersama Sistem Bunyi Meridian yang berfungsi seperti fon kepala pembatal bunyi untuk memberikan suasana kabin yang lebih senyap dan mewah.
Selain itu, terdapat juga kamera keliling 3D yang memberikan pandangan tiga dimensi di sekeliling kenderaan (termasuk pandangan perspektif tiga dimensi dari bahagian atas dan ClearSight Ground View) bagi membolehkan pemandu mengatasi permukaan muka bumi yang sukar dengan lebih mudah.
Satu lagi ciri yang memberikan Velar kelebihan off-road adalah Wade Sensing. Sistem ini menggunakan sensor ultrasonik pada cermin sisi untuk memaparkan melalui skrin sentuh dan membunyikan bunyi amaran kepada pemandu sekiranya air hampir mencecah paras kedalaman randukan kenderaan.
Turut disertakan adalah sistem suspensi udara elektronik dengan akses pelarasan ketinggian automatik yang memudahkan pemandu memasuki dan meletakkan barang di dalam Velar. Ketinggiannya boleh diubah suai sehingga 50 mm menerusi skrin sentuh, kunci kawalan jauh atau butang kawalan di bahagian but. Bagi meningkatkan kecekapan bahan api, ketinggiannya akan dikurangkan sebanyak 10 mm apabila kenderaan mencapai kelajuan 105 km/j.
Velar P250 R-Dynamic dikuasakan oleh enjin Ingenium 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 249 PS dan 365 Nm antara 1,300 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Intelligent Driveline Dynamics.
Ia kini berada di pasaran dengan harga bermula dari RM612,207.74 (selepas pengecualian cukai jualan, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).
No Comment