Berita Auto

Toyota GR Supra Kini Dengan Apple CarPlay – RM590k

Sedar tak sedar, sudah hampir dua tahun sejak Toyota GR Supra dilancarkan ke pasaran Malaysia. Dalam tempoh masa itu, UMW Toyota Motor telah memberikan satu kemas kini mekanikal yang menyaksikan kereta sport itu hadir dengan kuasa yang lebih tinggi. Kini, ia mendapat satu lagi kemas kini iaitu sistem Apple CarPlay.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-69

Menurut UMW Toyota, sistem berkenaan menggunakan sambungan wayar. Ia melengkapkan sistem infohibur sedia ada yang merangkumi skrin sentuh berukuran 8.8 inci dengan pad sentuh, navigasi, Bluetooth, USB, serta sistem audio JBL HiFi Surround Sound dengan 12 pembesar suara.

Toyota GR Supra

Seperti sebelum ini, enjin 3.0-liter turbo enam silinder sebarisnya menghasilkan 388 PS dari 5,800 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm dari 1,800 hingga 5,000 rpm. Peningkatan kuasa sebanyak 14 peratus itu dicapai menerusi penggunaan manifold ekzos dua cabang dengan enam port (berbanding dua port sebelum ini) dan piston baharu yang mengurangkan nisbah mampatan enjin dari 11:1 kepada 10.2:1.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, GR Supra mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat, menjadikannya 0.2 saat lebih pantas berbanding sebelum ini.

Toyota GR Supra

Bukan itu sahaja, casisnya turut dinaik taraf menerusi ‘performance rod’ yang ditugaskan untuk meningkatkan ketahanan dan kestabilan di selekoh.

Dari segi keselamatan pula, GR Supra didatangkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Peninjau Titik Buta (BSM) dan pelbagai lagi.

Toyota GR Supra

Turut disertakan adalah sistem bantuan pemandu aktif seperti Amaran Perlanggaran Depan, Amaran Penukaran Lorong, Kawalan Melayar Adaptif (semua kelajuan), Sistem Lampu Tinggi dan Bantuan Penanda Jalan.

GR Supra boleh didapati dalam tujuh warna iaitu White Metallic, Silver Metallic, Ice Grey Metallic, Black Metallic, Prominence Red, Lightning Yellow dan Matte Storme Grey Metallic. Ia dijual pada harga RM589,987 (selepas pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus) dan boleh ditempah di bilik pameran Toyota GR Garage terpilih di seluruh negara.

Previous post

Honda HR-V Sport Hybrid Dipertingkatkan Untuk Jualan Terakhir Malaysia

Next post

Jualan Alatan Ganti Lebihan SpareXHub Bermula Minggu Depan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *