Volkswagen Golf GTI BBS Concept Tampil Retro
Volkswagen kebelakangan ini dilihat kerap menjalinkan kerjasama dengan peminatnya bagi menghasilkan kereta-kereta konsep. Baru beberapa minggu yang lalu, kita diperkenalkan dengan Atlas Cross Sport GT Concept yang dikuasakan oleh enjin Golf R. Kini, syarikat itu telah memperkenalkan Golf GTI BBS Concept.
Direka oleh Jamie Orr, seorang peminat tegar Golf yang berasal dari Philadelphia, Golf GTI BBS Concept secara asasnya adalah model Mk8 yang direka semula berdasarkan Golf GTI Mk2. Ia diberi suntikan elemen-elemen retro yang menarik seperti rim keemasan dan pelbagai lagi.
Untuk model konsep ini, Orr memfokuskan kepada penambahbaikan visual sahaja. Ini bermakna enjin turbo 2.0-liter empat silindernya tidak disentuh langsung dan masih menghasilkan 241 hp dan 370 Nm seperti versi standard. Cuma, enjin tersebut kini ‘bernafas’ menerusi sistem ekzos Borla yang sudah pastinya menghasilkan bunyi yang lebih menarik.
Dari segi penampilan, hot hatch ini tampil dengan rim BBS Super RS bersaiz 19 inci yang mempunyai corak hex dan waffle yang klasik. Ia dipadankan dengan tayar Delinte D7 berukuran 235/35.
Bagi mendapatkan ‘stance’ yang lebih agresif, Orr menggunakan set coilover dari H&R dan komponen-komponen yang diperbuat secara kustom. Menurutnya, sistem berkenaan mempunyai pelarasan camber pada bahagian hadapan.
Penampilan Golf GTI BBS Concept disudahkan dengan corak pinstripe berwarna merah dan hitam pada bahagian bonet dan sisi. Sementara itu, ruang dalaman dibiarkan standard.
Seperti model-model konsep peminat yang lain, Golf GTI BBS Concept berkemungkinan besar akan kekal sebagai konsep. Namun sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan inspirasi untuk pemilik Golf GTI Mk8 yang lain.
No Comment