Acura Integra Generasi Ke-5 Sah Hadir Sebagai Liftback Lima Pintu
Apabila teaser untuk Integra generasi kelima didedahkan pada Ogos lalu, ramai yang tertanya-tanya, adakah Acura akan menghidupkan semula semula coupe dua pintu seperti model generasi keempat?
Persoalan itu akhirnya terjawab apabila Acura menyiarkan gambar teaser terbaharu yang menunjukkan bahagian belakang model tersebut. Seperti yang boleh dilihat dengan jelas, Integra baharu akan menampilkan rekaan liftback lima pintu.
Menurut Acura, rekaan ini merupakan inspirasi daripada model Integra asal yang banyak membantu menaikkan jenama Acura pada 1986. Ia akan hadir sebagai kereta “kompak sport premium” dengan garisan bumbung landai ke belakang yang bertemu dengan spoiler ducktail.
Menariknya, jika dilihat dari belakang, rekaan lampu belakang yang tajam dengan grafik yang menarik membuatkan Integra kelihatan tidak ubah seperti Mercedes-Benz CLA. Sementara itu, teaser yang disiarkan sebelum ini memberi bayangan seolah-olah ia mempunyai rekaan hadapan yang sama dengan TLX Type S.
Setakat ini, tidak banyak yang diketahui mengenai maklumat teknikal dan spesifikasi Integra. Ada yang menjangkakan ia akan dibina menggunakan platform Honda Civic, dengan pilihan enjin turbo dan pacuan roda hadapan. Versi trenkuasa hibrid atau elektrik juga mungkin diperkenalkan.
Apa-apa pun, kita tunggu sahaja model ini diperkenalkan sepenuhnya pada tahun hadapan.
No Comment