Acura NSX-T Tahun 2004 Dijual Pada Harga RM600k Di Amerika Syarikat
Dalam dunia kereta JDM (Japanese Domestic Market atau Pasaran Domestik Jepun), tidak banyak kereta yang kelihatan semakin cantik walaupun semakin berusia seperti Honda/Acura NSX. Walaupun sudah lebih 30 tahun sejak pertama kali ia diperkenalkan, ‘pembunuh Ferrari’ ini masih kelihatan seolah-olah ia baru keluar dari kilang. Mungkinkah ini sebab kenapa harganya semakin mahal?
Yang pasti, ia adalah salah satu faktor yang mempengaruhi harganya. Selain rekaan yang tak lapuk dek zaman, pengaruh Hollywood dan francais filem Fast & Furious terutamanya, secara tidak langsung membuatkan harga naik mencanak. Bukan itu sahaja, jumlahnya yang semakin berkurangan menjadikan NSX dan juga kereta-kereta JDM yang lain semakin ‘rare’ dan ini akan menyebabkan harganya semakin lama semakin tinggi.
Contohnya, Acura NSX-T keluaran 2004 ini yang disenaraikan di laman web lelongan terkenal Amerika Syarikat iaitu Bring A Trailer baru-baru ini dijual pada harga USD145,000 atau kira-kira RM600,000. Untuk meletakannya dalam perspektif, pembeli tersebut boleh mendapatkan sebuah BMW M8 baharu, Audi R8 coupe atau Mercedes-AMG GT dengan jumlah wang yang sama.
Sudah tentu, ketiga-tiga supercar Jerman itu tidak setanding dengan NSX kerana tiada satu pun di antaranya yang dibangunkan dengan input daripada seorang pemandu F1 bertaraf lagenda. Faktor ini sahaja sudah cukup menjustifikasikan harganya yang tidak masuk akal itu namun ada faktor-faktor lain menjadikan unit ini agak istimewa.
Menurut laman web tersebut, ia salah satu daripada 197 unit yang dihasilkan untuk pasaran AS untuk model tahun tersebut dan daripada jumlah itu, hanya 23 unit didatangkan dalam warna Silverstone Metallic dengan ruang dalaman Silver dan transmisi manual.
Bukan itu sahaja, kereta sport Jepun dengan bumbung targa yang boleh dicabut ini juga mempuyai seorang sahaja pemilik terdahulu dan beliau hanya memandu sejauh kira-kira 33,800 km (tidak sampai 21,000 batu) sejak membelinya. Kereta ini juga didatangkan dengan buku pengeluar, rekod servis, laporan Carfax yang tidak menunjukkan sebarang laporan kemalangan dan sijil pemilikan nama pemilik tunggal.
Dari segi penampilan, jentera ini mengekalkan warna asalnya dan kelihatan agak sempurna, namun menurut pemiliknya, terdapat calar pada bampar belakang sebelah penumpang. Ia juga masih menggunakan rim tempaan aluminium berukuran 17 inci asal yang telah dicat semula beberapa tahun yang lalu. Di dalam, terdapat kesan lusuh pada tempat duduk namun selain itu, keseluruhan ruang kabin dan papan pemuka tampak baharu.
Untuk aspek mekanikal pula, NSX-T ini telah diberikan beberapa penambahbaikan kecil. Sebagai contoh, enjin 3.2-liter VTEC V6 yang terletak di bahagian belakang kabin itu dilengkapi dengan sistem ambilan udara dan penapis ‘aftermarket’, manakala transmisi manual enam kelajuannya mempunyai ‘short shifter’ yang menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan. Satu lagi modifikasi adalah lengan kawalan (control arm) daripada kilang.
Tidak kira bagaimana anda melihatnya, USD145,000 adalah satu jumlah yang sangat tinggi untuk sebuah kereta sport Jepun yang berusia hampir 20 tahun. Bagaimanapun, kami pasti pemilik baharunya gembira dengan pembelian ini dan bagi kami, itulah perkara yang paling penting apabila membeli sesuatu. Lagipun, NSX adalah antara kereta JDM yang diminati ramai, oleh itu beliau masih boleh membuat keuntungan jika beliau ingin menjualnya semula pada masa depan.
No Comment