BMW Malaysia Lancar BMW iX Configurator, Ada 7 Pilihan Pakej
BMW Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran BMW iX Configurator di laman web rasminya. Ia membolehkan pelanggan yang telah membuat pratempahan atau mereka yang merancang untuk menempah iX xDrive40 (sebelum 12 Oktober) memilih salah satu daripada tujuh pakej tambahan yang ditawarkan untuk SUV elektrik itu.
Power Package (RM4,600) merangkumi BMW i Wallbox (Generation 3, Type 2) untuk kemudahan pengecasan di rumah. Kotak pengecas ini hadir dengan kabel tersendiri yang membekalkan kuasa AC 11kW yang mampu mengecas bateri dari 0% hingga 100% dalam tempoh 7 jam 15 minit. Turut disertakan adalah kabel pengecas segera awam BMW i untuk digunakan di stesen-stesen pengecasan pantas. Pakej ini tersedia bagi kedua-dua varian iX xDrive40.
BMW Iconic Package (RM3,020) pula didatangkan dengan tali pinggang keledar dalam rona BMW iBlue, serta BMW IconicSounds Electric untuk menghasilkan bunyi enjin yang setanding dengan dinamik pemanduannya. IconicSounds dibekalkan menerusi sistem audio, dan disesuaikan bagi tiga mod pemanduan: Personal, Efficient, dan Sport. Pakej ini disediakan bagi kedua-dua varian iX xDrive40.
Technology Package melengkapi kenderaan ini dengan Driving Assistant Professional yang merangkumi fungsi Steering & Lane Control Assistant, Lane Keeping Assistant, Tyre Pressure Monitoring System dan Parking Assistant Plus. Ciri-ciri ini disediakan secara standard bagi iX xDrive40 Sport, tetapi akan ditawarkan sebagai opsyen bagi iX xDrive40 dengan bayaran tambahan sebanyak RM15,700.
Eksklusif bagi iX xDrive40 ialah Design Package (RM15,740), yang merangkumi perincian BMW Individual Exterior Line Titanium Bronze grafik gril ‘kidney’, grafik tingkap sisi di bahagian bawah, pangkal cermin sisi, hendal pintu, designasi model, serta sisipan di hadapan, sisi dan belakang. BMW Laserlights dengan tulisan “BMW Laser” pada lampu hadapan (standard bagi varian Sport) turut disertakan.
Luxury Package (RM33,490) merangkumi Panorama Glass Roof Sky Lounge yang boleh dilegapkan atau dijadikan lut sinar, Headliner Anthracite, Clear & Bold Interior Applications dengan suis kristal dan elemen kayu, serta sistem audio keliling Harman Kardon dengan 18 pembesar suara.
Akhir sekali, Interior Upholstery Package (RM21,110) hadir dengan dua pilihan upholsteri premium iaitu Interior Design Suite Castanea dan Interior Design Suite Amido, masing-masing membawakan material kulit daun zaitun asli yang diperangkan menerusi dua warna yang eksklusif. Ia ditampilkan pada panel instrumen, panel trim pintu, konsol sentral dan tempat duduk. Aksen logam dalam warna Gold Bronze, berserta sulaman terperinci melengkapkan lagi suasana elegan.
No Comment