Ducati Multistrada V4 Dilancarkan Di Malaysia – Harga Dari RM136k
Ducati Multistrada V4 serba baharu akhirnya tiba di Malaysia, hampir setahun selepas ia diperkenalkan di peringkat global. Motosikal kembara serba lengkap itu kini boleh didapati di semua bilik pameran Ducati di seluruh negara, dengan harga bermula dari RM135,900 bagi versi V4 dan RM146,900 bagi V4 S.
Kami pernah menulis tentang Multistrada V4 sebelum ini, namun untuk menyegarkan kembali ingatan anda, berikut adalah antara spesifikasi dan kelengkapan yang ditawarkan:
V4 dan V4S kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 1,158 cc V4 Granturismo yang menghasilkan 170 hp pada 10,500 rpm dan 125 Nm pada 8,750 rpm. Enjin ultra-kompak itu mempunyai berat 66.7 kg sahaja dan menjanjikan penghantaran kuasa yang lancar pada julat rev rendah dan tork yang tinggi pada julat rev pertengahan.
Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi enam kelajuan yang mempunyai gear pertama yang pendek untuk kawalan yang mudah pada kelajuan rendah dan gear keenam yang dioptimumkan untuk tunggangan di lebuh raya.
Multistrada V4 dibangunkan dengan menggunakan rangka monocoque aluminium baharu yang disambungkan dengan sub-rangka tiub dan lengan ayun aluminium berkembar. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, ukuran tapak rodanya dikurangkan kepada 1,567 mm, manakala jarak lega tanah adalah 220 mm.
Ducati turut mempertingkatkan ergonomik jentera ini dengan menggunakan tempat duduk yang lebih rendah yang boleh ditetapkan pada ketinggian 840 mm atau 860 mm (tempat duduk 810 mm dan 875 mm ditawarkan sebagai aksesori tambahan). Selain itu, bahagian tengah motosikal ini juga lebih kecil, sekaligus memberikan posisi menunggang yang ideal walaupun ketika berdiri.
Untuk sistem suspensi pula, V4 dilengkapi dengan fork boleh laras 50 mm di hadapan dan suspensi monoshock di belakang, manakala V4 S pula mendapat sistem suspensi yang lebih canggih iaitu suspensi elektronik Skyhook pada kedua-dua bahagian.
Dari segi sistem elektronik, V4 didatangkan standard dengan ABS Cornering, Wheelie Control dan Traction Control, manakala V4 S diberikan penambahan ciri-ciri seperti Quick Shift, Vehicle Hold Control, Adaptive Cruise Control dan juga Blind Spot Detection. Mod tunggangan yang ada pada kedua-dua versi adalah Sport, Touring, Urban dan Enduro.
Paparan TFT pada V4 berukuran lima inci, manakala unit yang dilengkapkan pada V4 S sedikit lebih besar dengan ukuran 6.5 inci. Bukan itu sahaja, paparan pada V4 S turut dilengkapi dengan sistem Ducati Connect yang membolehkan penyambungan telefon pintar dilakukan menerusi Bluetooth atau Wi-Fi untuk navigasi dan media. Turut disertakan pada V4 S adalah sistem bebas-tangan.
Sebagai varian tertinggi, V4 S diberikan senarai kelengkapan yang lebih tinggi yang merangkumi sistem pencahayan LED sepenuhnya dengan lampu belokan, lampu nyalaan siang, dan cakera brek 330 mm dengan angkup Brembo Stylema M50.
V4 pula mempunyai sistem pencahayaan LED dan cakera brek berukuran 320 mm yang dipadankan dengan angkup Brembo M4.32. Bagaimanapun, kedua-duanya menggunakan set tayar Pirelli Scorpion Trail berukuran 120/70 R19 di hadapan dan 170/60 R17 di belakang.
No Comment