Ferrari F8 Spider Talaan Novitec Mempunyai 802 hp, 898 Nm
Ferrari F8 Spider diperkenalkan dua tahun yang lalu sebagai pengganti kepada 488 Spider dan versi convertible kepada F8 Tributo. Seperti jentera-jentera V8 yang datang dari Maranello sebelum ini, ia tidak mempunyai banyak kelemahan dan boleh dikatakan hampir sempurna. Namun, ini tidak menghalang Novitec daripada menjadikannya sebagai ‘bahan’ untuk hasil kerja terbaharu mereka.
Untuk jentera ini, syarikat talaan yang berpangkalan di Bavaria, Jerman itu menghasilkan pakej naik taraf yang merangkumi komponen aerodinamik yang diperbuat daripada gentian karbon dan modul kawalan enjin yang berupaya memerah lebih banyak kuasa daripada enjinnya.
Antara komponen yang dimaksudkan adalah spoiler berkembar pada bampar hadapan dan juga flap sisi, yang mana menurut Novitec, dapat mengurangkan daya angkat dan membantu dalam aspek penyejukan. Bukan itu sahaja, terdapat juga cermin sisi dan rocker panel, serta pilihan spoiler belakang berbentuk ducktail atau sayap.
Unit yang dipaparkan ini memakai rim tempaan Vossen NF10 berukuran 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang, dengan kemasan Satin Bronze. Novitec menawarkan dua lagi rekaan rim iaitu NF8 dan NF9 yang boleh didapati dalam beberapa saiz dan pilihan warna.
Sudah tentu, pakej naik taraf Novitec tidak akan lengkap tanpa sebarang peningkatkan kuasa. Bagi tujuan ini, Novitec menggunakan modul N-Tronic yang mengandungi kalibrasi suntikan bahan api, pemetaan pencucuhan dan kawalan tekanan boost. Hasilnya, enjin 3.9-liter twin-turbo V8 itu kini menghasilkan 802 hp dan 898 Nm, berbanding 711 hp dan 770 Nm sebelum ini.
Dari segi prestasi, pecutan 0-100 km/j berjaya dikurangkan dari 2.9 saat kepada 2.6 saat, namun kelajuan maksimum kekal pada 340 km/j. Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem ekzos Inconel dengan tambahan saduran emas, flap aktif dan muncung karbon.
No Comment