Geometry EX3 Dilancarkan Di China – Harga Kurang Dari RM40,000
Jenama kenderaan elektrik yang bernaung di bawah Geely Auto Group iaitu Geometry telah memperkenalkan EX3 baharu. Crossover elektrik itu akan dijual di pasaran China pada harga cuma 59,700RMB (kira-kira RM38,675), menjadikannya EV paling mampu milik jenama itu setakat ini.
EX3 merupakan sebuah model kompak yang mempunyai ukuran panjang 4,005 mm, lebar 1,760 mm dan tinggi 1,575 mm, dengan tapak roda sepanjang 2,480 mm. Bagi membantu anda mendapatkan gambar tentang saiznya, ia 60 mm lebih pendek, 50 mm lebih lebar dan 60 mm lebih berbanding Perodua Ativa.
Bagaimanapun, walaupun ukuran tapak rodanya lebih pendek sebanyak 25 mm, EX3 mempunyai ruang but sebesar 500 liter yang boleh diperbesarkan sehingga 1,050 liter dengan melipat tempat duduk belakang.
Walaupun bersaiz kecil molek, teknologi dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh model ini tidak kurang hebatnya. Dari segi trenkuasa, EX3 dilengkapi dengan sebuah motor elektrik yang menjana 94 hp dan 180 Nm. Lebih hebat lagi, Geometry mendakwa ia boleh dipandu sejauh 322 km (berdasarkan kitaran NEDC) dengan adanya pek bateri berkapasiti 37.23 kWh.
Selain soket 220V yang biasanya terdapat di kediaman, bateri tersebut turut menyokong pengecas pantas DC yang boleh memberikan 80 peratus cas dalam masa kurang dari 30 minit. Bagi memanjangkan jangka hayat bateri, Geometry menggunakan teknologi pengurusan suhu yang memastikan suhu bateri berada pada paras 20°C.
Walaupun reka bentuk luarannya tidak seberapa, suasana ruang kabinnya boleh dikatakan premium untuk sebuah kenderaan yang berharga kurang dari RM40,000. Selain kemasan seperti suede dan tempat duduk yang ergonomik, anda juga akan menemui kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci dan skrin infotainmen lapan inci di atas papan pemuka. Sudah tentu, ciri-ciri seperti sambungan telefon pintar, navigasi, radio satelit, arahan suara dan WiFi disertakan.
Aspek keselamatan turut dititikberatkan menerusi kehadiran beg udara berkembar, sensor udara, kamera, sistem pemantauan tekanan tayar serta ABS + EBD. Model ini juga didatangkan dengan bar anti-perlanggaran berkekuatan tinggi pada bahagian hadapan dan belakang.
No Comment