GT 63 S E Performance Jentera Hibrid Berprestasi Tinggi Pertama AMG
Mercedes-AMG telah memulakan era elektrifikasinya dengan melancarkan GT 63 S E Performance baharu yang juga merupakan model paling berkuasa pernah dihasilkannya. Huruf ‘E’ pada namanya menandakan yang ia adalah sebuah hibrid plug-in.
Menggunakan GT 63 S 4 Door Coupe sebagai asas, jentera terbaharu dari Affalterbach ini menggandingkan enjin 4.0-liter biturbo V8 yang sedia ada dengan sebuah motor elektrik 204 PS yang diletakkan pada gandar belakang. Trenkuasa E Peformance ini, termasuk bateri, dibangunkan dengan teknologi yang diperoleh daripada jentera Formula 1 Mercedes-AMG Petronas.
Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 843 PS dan lebih daripada 1,400 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.9 saat dan dari 0 hingga 200 km/j dalam kurang 10 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 316 km/j. Untuk perbandingan, GT Black Series memerlukan 3.2 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.
Kuasa untuk motor elektrik tersebut dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion berprestasi tinggi seberat 89 kg. Dibangunkan secara bersama oleh Mercedes-AMG dan bengkel High Performance Powertrains (HPP) Formula 1 Mercedes-AMG Petronas di Brixworth, bateri berkapasiti 6.1 kWj itu direka untuk penghantaran kuasa yang cepat dan bukannya jarak pemanduan.
Oleh itu, tidak hairanlah model ini mempunyai jarak pemanduan elektrik sejauh 12 km sahaja dalam mod Electric. Selain itu, mod-mod pemanduan yang disediakan adalah sama sahaja seperti yang terdapat pada varian 53 dan 63 iaitu Comfort, Sport, Sport+, Race, Slippery dan Individual. Sistem brek janaan semula pula mempunyai empat tahap iaitu Level 0, 1, 2 dan 3, dengan satu lagi mod tambahan yang ditala khas untuk litar lumba.
GT 63 S E Performance didatangkan standard dengan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ yang dipadankan dengan peredam elektronik baharu. Kuasa membrek pula datang daripada cakera seramik komposit berukuran 420 mm dengan angkup AMG enam piston di hadapan dan cakera 380 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.
No Comment