Honda BR-V Generasi Ke-2 Dilancarkan Di Indonesia
P.T. Honda Prospect Motor telah melancarkan Honda BR-V generasi kedua untuk pasaran Indonesia. Diperkenalkan sebagai model konsep N7X (New 7 Seater eXcitement) pada Mei lalu, MPV tujuh tempat duduk itu hadir dengan reka bentuk serba baharu serta pelbagai kelengkapan yang tidak disertakan pada model terdahulu.
Seperti yang boleh dilihat, rekaan model produksi ini boleh dikatakan hampir 100 peratus sama dengan N7X. Jika dibandingkan dengan model terdahulu, BR-V kini kelihatan lebih matang dan premium, dengan rekaan lampu LED yang tajam dan lampu nyalaan siang LED yang bersambung dengan trim krom pada bahagian atas gril.
Di belakang, lampu kombinasi baharu dihiasi dengan bar LED yang selari dengan garis badan, manakala pemegang nombor plat pula diletakkan pada bahagian bawah tailgate seperti HR-V. Melengkapkan imej segar model ini adalah rim dua tona berukuran 17 inci.
Di dalam, terdapat papan pemuka yang direka semula yang memuatkan skrin sentuh berukuran tujuh inci dan paparan TFT 4.2 inci di dalam kluster instrumen. Menurut Honda, BR-V baharu juga diberikan sedikit sentuhan mewah dalam bentuk upholsteri kulit pada perehat tangan, panel pintu dan juga papan pemuka.
Aspek praktikaliti turut dititikberatkan menerusi kehadiran pemegang cawan pada konsol tengah, lapan ruang penyimpanan botol air, kompartmen penyimpanan barang di bahagian belakang kerusi hadapan, serta tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat dalam konfigurasi 50:50.
Seperti sebelum ini, BR-V dikuasakan oleh enjin 1.5-liter empat silinder i-VTEC yang dipadankan dengan CVT atau transmisi manual, serta pacuan roda hadapan. Bagaimanapun, kuasa yang dihasilkan meningkat kepada 121 PS pada 6,600 rpm berbanding 120 PS sebelum ini, manakala tork pula kekal pada 145 Nm pada 4,300 rpm.
Satu lagi peningkatan yang dibawa oleh model baharu ini adalah teknologi bantuan pemandu Honda Sensing yang merangkumi ciri-ciri seperti Lead Car Departure Notification System (LCDN), Collision Mitigation Brake System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Adaptive Cruise Control (ACC) serta Auto High Beam.
Untuk pasaran Indonesia, BR-V ditawarkan dalam empat varian iaitu S, E Prestige dan Prestige dengan Honda Sensing.
No Comment