Isuzu D-Max Boleh Didapati Dengan Pakej Huntsman Di UK
Diperkenalkan buat kali pertama pada 2017, pakej aksesori Huntsman merupakan cara Isuzu memujuk peminat aktiviti menembak dan memburu untuk membeli D-Max. Syarikat automotif dari Jepun itu telah melancarkan versi terkini pakej tersebut yang ditawarkan secara eksklusif untuk semua model D-Max Double Cab di United Kingdom.
Dijual pada harga £5,825 (kira-kira RM33,540), pakej aksesori Huntsman merangkumi pelbagai komponen yang menjadikan aktiviti menembak atau memburu lebih mudah. Ini termasuklah kanopi Aeroklas E-Tronic yang didatangkan dalam warna yang sama dengan badan, sistem laci bed aluminium dan juga tikar lantai getah yang mudah dibersihkan.
Diperbuat daripada plastik ABS, kanopi tersebut mempunyai pintu belakang, lampu dalaman, lampu brek dan juga tingkap untuk pengudaraan. Ia boleh dilengkapi dengan rel bumbung yang memberikan kapasiti muatan tambahan sebanyak 80 kg. Sementara itu, sistem laci bed itu pula menampilkan dua laci dan dua kompartmen penyimpanan barang yang boleh dikunci.
Dengan adanya tow bar dengan 13-pin elektrik dan sistem Sway Detection yang disertakan pada semua model 4X4, D-Max yang dilengkapi dengan pakej aksesori Huntsman boleh menunda beban sehingga 3.5 tan.
Akhir sekali, pelanggan yang memilih pakej ini juga akan mendapat rim aloi 18 inci dengan tayar all-terrain Pirelli, pemijak sisi, kit bed liner yang diperbuat daripada material polyethylene tahan lasak, serta Tailgate Assist dan kunci tailgate. Bagaimanapun, tidak seperti sebelum ini, pakej ini tidak mengandungi naik taraf sistem suspensi.
Menurut Isuzu, pakej aksesori Huntsman boleh dipilih semasa pelanggan membuat pembelian D-Max, bermakna ia akan dipasang terus di kilang sebelum trak diserahkan kepada pelanggan.
Semua varian D-Max di UK dikuasakan oleh enjin turbodiesel 1.9-liter empat silinder yang menghasilkan 162 hp dan 360 Nm, dengan transmisi standard manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan, serta pilihan pacuan dua atau empat roda.
No Comment