Bisnes

Jualan Perodua Melonjak Kepada 6,988 Unit Pada Ogos

Peningkatan produksi dan pembukaan pusat jualan yang dilakukan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos menyaksikan jualan kenderaan Perodua meningkat kepada 6,988 unit pada Ogos lalu. Pada bulan sebelumnya, syarikat itu hanya berjaya menjual 655 unit kenderaan akibat perintah ‘lockdown’.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-5

“Kami menjangkakan jumlah pengeluaran dan pendaftaran akan meningkat berkali ganda pada bulan September apabila keadaan kembali normal,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Semua operasi Perodua dihentikan berikutan penutupan di seluruh negara yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 untuk mengawal penyebaran COVID-19.

Setakat tahun ini (year-to-date), Perodua telah mendaftarkan 104,933 kenderaan, menunjukkan penurunan sebanyak 12.5 peratus berbanding 119,977 kenderaan yang dijual antara Januari dan Ogos tahun lalu.

“Kami sedang berusaha untuk mengecilkan jurang ini dengan meningkatkan lagi pengeluaran kenderaan kami dan juga menambahbaik prosedur operasi kami untuk memastikan keselamatan para kakitangan dan pelanggan kami,” kata Dato’ Zainal.

Tambah beliau, syarikat turut memutuskan untuk menurunkan sasaran jualan sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 unit berbanding 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini atas faktor waktu dan sumber yang sedia ada.

“Keutamaan kami kini adalah memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini. Antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa termasuklah peningkatan kes COVID-19 dan juga kekurangan bekalan semikonduktor,” kata Dato’ Zainal.

Walaupun sektor automotif dibelenggu isu kekurangan cip semikonduktor di peringkat global, Dato’ Zainal berkata bahawa Perodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar tahun ini. Beliau juga memberi jaminan bahawa sebahagian besar tempahan Perodua yang tertunggak akan dapat dipenuhi dalam tahun ini.

“Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan para pembekal kami untuk menghadkan sebarang gangguan yang timbul,” katanya.

Previous post

Tempoh Pembaharuan Lesen Memandu, Cukai Jalan Dilanjutkan

Next post

Pemilik Subaru Di Malaysia Kini Boleh Guna Subaru Connex

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *