Jualan Proton Dijangka Pulih Dalam Empat Bulan Terakhir 2021
Proton mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2021 dengan impak yang nyata, setelah hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan Covid-19. Ini berikutan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport kembali beroperasi yang dijangkakan akan meningkatan hasil jualan bermula bulan September.
Dari bulan Jun hingga Ogos 2021, Proton berjaya memperolehi jumlah jualan sebanyak 5,354 unit yang merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport. Produksi terhad di kilang Tanjung Malim mulai 5 Julai lalu hanya bertahan seketika akibat kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.
Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, iaitu satu peningkatan sebanyak 1.6% berbanding tempoh yang sama tahun 2020. Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata jumlah tersebut mencerminkan prestasi tinggi Proton dalam lima bulan pertama tahun ini.
“Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh 4 bulan terakhir tahun ini,” tambah beliau.
Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, Proton juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara. Sebagai contoh, Pakistan akan menerima tiga penghantaran X70 sebanyak 108 unit pada bulan September termasuk pek CKD untuk Saga yang kini dijangkakan akan mula dipasang siap di sana pada akhir bulan Oktober.
Salah satu faktor yang membolehkan syarikat membuka semula kilang adalah kejayaan pelan vaksinasi PIKAS. Data terkini menunjukkan lebih 93% daripada warga kerja Proton telah divaksinasi sepenuhnya manakala lebih 75% pekerja dari pembekal dan wakil jualan juga talah mendapat vaksin penuh.
Oleh itu, keseluruhan ekosistem Proton hampir dibenarkan untuk beroperasi pada kapasiti 100% berdasarkan SOP semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.
Bagaimanapun, Roslan berkata masih terlalu awal untuk mengetahui berapa cepat syarikat boleh memenuhi tuntutan langganan yang belum dijelaskan.
No Comment