Land Rover Defender V8 Bond Edition Diinspirasikan Oleh ‘No Time To Die’
Setelah beberapa kali ditangguh, filem James Bond yang ke-25 iaitu No Time To Die akhirnya akan ditayangkan di layar perak pada 30 September ini. Selain supercar Aston Martin yang akan dipandu oleh perisik British itu sendiri, filem tersebut juga akan menampilkan beberapa buah SUV keluaran Land Rover termasuk Defender V8.
Sempena meraikan penayangan ini, Land Rover akan menawarkan Defender V8 ‘Bond Edition’ yang diinspirasikan oleh model yang muncul dalam filem tersebut. Hanya 300 unit akan dihasilkan dan setiap unit tampil serba gelap dengan Extended Black Pack dan rim aloi 22 inci dalam warna Luna Gloss Black. Hanya angkup brek Xenon Blue dan logo ‘Defender 007’ pada bahagian belakang sahaja yang didatangkan dalam warna selain hitam pada model ini.
Untuk ruang dalaman, sentuhan eksklusif merangkumi treadplate bercahaya dengan tulisan ‘Defender 007’ dan animasi khas untuk skrin sentuh sistem infohibur Pivi Pro. Turut disertakan adalah lampu lopak dengan grafik ‘007’ yang unik.
Seperti Defender V8 standard, model Bond Edition ini dikuasakan oleh enjin 5.0-liter supercharged V8 yang menghasilkan 525 PS dan 625 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240 km/j.
Selain itu, ia juga mempunyai talaan sistem suspensi yang tersendiri serta Electronic Active Rear Differential – gabungan ini membuatkannya lebih lincah di atas pelbagai jenis bentuk muka bumi. Tidak hairanlah SUV ini dipilih untuk beraksi dalam filem James Bond.
No Comment