Lexus RC F Kekal Dengan Fuji Speedway Edition Untuk 2022
Lexus RC F akan terus ditawarkan untuk model tahun 2022 dan seperti sebelum ini, sedan berprestasi tinggi itu boleh didapati dalam versi Fuji Speedway Edition.
Dinamakan sempena litar lumba di mana divisyen Lexus F dilahirkan, RC F Fuji Speedway Edition akan ditawarkan dalam bilangan yang terhad iaitu 50 unit sahaja. Ia boleh didapati dalam warna biru Electric Surge dengan efek separa matte, manakala ruang dalamannya dihiasi dengan upholsteri Alcantara biru/hitam dan trim gentian karbon.
Lebih penting lagi, model ini tampil dengan beberapa naik taraf bagi membawa prestasinya ke tahap lebih tinggi. Ini termasuk sistem brek karbon seramik keluaran Brembo, sistem ekzos titanium dan juga komponen-komponen gentian karbon. Pengurangan berat ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.96 saat, hampir 0.3 saat lebih pantas berbanding versi standard.
Sementara itu, RC F versi standard pula mengekalkan sebahagian besar reka bentuknya, kecuali rimnya di mana ia kini didatangkan dalam saiz 19 inci dengan rekaan terkini. Tayar yang digunakan adalah Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/35 di hadapan dan 275/35 di belakang.
Pelanggan yang inginkan lebih kelengkapan boleh mendapatkan Carbon Package yang merangkumi komponen-komponen gentian karbon seperti bumbung, bampar, spoiler dan sebagainya, rim 19 inci dalam warna hitam matte, trim gentian karbon untuk ruang dalaman, balutan kulit pada kerusi dan ciri Intuitive Parking Assist.
Di bawah hud, enjin aspirasi natural 5.0-liter V8 masih menghasilkan 472 hp dan 535 Nm seperti sebelum ini. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Sport Direct Shift lapan kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang.
Untuk makluman, ia merupakan enjin yang sama terdapat pada model IS 500 F Sport Performance yang diperkenalkan pada awal tahun ini.
No Comment