Maybach Rai Ulang Tahun Ke-100 Dengan Dua Model Edisi Terhad
Sejak sekian lamanya, segmen ultra-mewah dikuasai oleh jenama-jenama British seperti Rolls-Royce dan Bentley, biarpun kedua-duanya kini dimiliki oleh dua gergasi automotif dari Jerman iaitu BMW Group dan Volkswagen Group.
Daimler pula telah mencuba untuk memecah dominasi ini sejak bertahun-tahun lamanya menerusi Maybach, namun sayangnya ia dilihat sekadar sebagai sub-jenama kepada Mercedes-Benz. Meskipun begitu, jenama itu kaya dengan sejarah tersendiri dan tahun ini, ia meraikan ulang tahunnya yang ke-100.
Bersempena dengan peristiwa penuh makna ini, Maybach akan menawarkan Mercedes-Maybach S-Class Edition 100 dan GLS Edition 100, masing-masing terhad kepada 100 unit sahaja.
Mercedes-Maybach S-Class Edition 100
Apa yang istimewa mengenai kedua-dua model ini? Pertama sekali, kedua-duanya didatangkan dalam warna dua tona High-Tech Silver/Nautical Blue, serta logo ‘Edition 100’ pada gril radiator, penutup hab rim, dan tiang C dan D. Rim pula didatangkan dalam warna kelabu.
Sementara itu, ruang dalaman pula menampilkan upholsteri kulit Designo Crystal White/Silver Grey Pearl. Logo ‘Edition 100’ pula boleh ditemui pada kompartmen penyimpanan dan panel beriluminasi.
Mercedes-Maybach GLS Edition 100
Bukan itu sahaja, setiap pembelian juga didatangkan dengan aksesori-aksesori eksklusif iaitu penutup kereta dengan logo Maybach, bekas simpanan yang dihiasi dengan kulit berwarna putih atau hitam, pen fountain yang dihiasi dengan 100 butir berlian dan emas 18 karat, serta gelas champagne Robbe & Berking.
Di bawah bonet, S-Class dikuasakan oleh enjin V12 dengan 612 PS manakala GLS pula tampil dengan enjin V8 yang menghasilkan 557 PS.
No Comment