Mercedes-Benz EQE Diperkenalkan Secara Rasmi
Tahun lalu, Mercedes-Benz menggariskan komitmen mereka terhadap elektrifikasi dan berjanji akan melancarkan sekurang-kurangnya lapan model elektrik menjelang 2022. Model yang pertama iaitu EQS telah diperkenalkan pada April lalu dan kini tiba pula giliran model EQ yang seterusnya iaitu EQE untuk membuat kemunculan.
Secara asasnya, EQE adalah E-Class versi elektrik namun jika diperhatikan, rekaannya lebih mirip kepada EQS dengan bentuk ala coupe, panel hitam besar pada bahagian hadapan yang bertindak sebagai gril serta lampu belakang yang lebar yang bersambung dari kiri ke kanan.
Sudah tentu, ukurannya lebih kecil jika dibandingkan dengan model flagship itu iaitu 4,946 mm panjang, 1,961 mm lebar dan 1,512 mm tinggi, dengan tapak roda sepanjang 3,120 mm. Sebagai rujukan, EQS mempunyai ukuran panjang 5,216 mm, lebar 2,215 mm, tinggi 1,512 mm dan tapak roda 3,210 mm.
Di dalam, pemandu pastinya sukar untuk membezakan antara EQE dan EQS kerana susun atur dan kelengkapan yang ada boleh dikatakan hampir 100 peratus sama. Ini termasuk kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci, serta papan pemuka digital sepenuhnya yang terdiri daripada skrin 17.7 inci di tengah dan skrin 12.3 inci untuk penumpang. Semuanya dioperasikan oleh sistem infohibur Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang telah ditambahbaik.
Model ini juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu generasi terkini yang merangkumi pelbagai fungsi sokongan pemandu. Antara ciri utama adalah Attention Assist yang kini boleh mengeluarkan amaran untuk ‘microsleep’ dengan menganalisa pergerakan kelopak mata pemandu menerusi kamera yang terdapat di dalam kluster instrumen.
Menurut Mercedes-Benz, EQE akan ditawarkan dalam dua varian sempena pelancarannya namun setakat ini, hanya perincian EQE 350 didedahkan kepada umum. Varian ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menggerakkan roda belakang dengan kuasa keseluruhan berjumlah 215 kW (292 PS) dan 530 Nm. Dengan bateri berkapasiti 90 kWj, ia dikatakan mempunyai jarak pemanduan sejauh antara 545 hingga 660 km.
Selain itu, syarikat itu juga merancang untuk memperkenalkan varian-varian berprestasi tinggi yang mempunyai kuasa sehingga 500 kW (680 PS) dan sistem pacuan semua roda 4Matic.
Dari segi pengecasan, bateri berkenaan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mendapatkan jarak pemanduan sejauh 250 km menerusi sistem pengecas pantas DC berkapasiti 170 kW. Dengan pengecas AC pula, ia mengambil masa dari 4 hingga 8 jam untuk pengecas penuh, bergantung kepada kapasiti pengecas tersebut.
No Comment