Motosikal / Skuter / Roda

MV Agusta Brutale 1000 RS Lebih Mesra Penunggang

Tidak dinafikan bahawa Brutale 1000 RR adalah sebuah motosikal yang berkemampuan tinggi, namun bagi sesetengah penunggang, jentera itu mungkin terlalu esktrem. Untuk itu, MV Agusta telah memperkenalkan versi yang lebih mesra penunggang yang dikenali sebagai Brutale 1000 RS.

Apa yang membuatkan versi RS berbeza? Pertama sekali, ia mempunyai ergonomik tunggangan yang lebih selesa. Ini dicapai menerusi penggunaan bar hendal lurus (berbanding ‘clip on’ pada RR), tempat duduk yang lebih tebal serta tempat meletak kaki yang diubah ke posisi yang lebih selesa.

Turut diberi perhatian adalah sistem suspensi. Jika RR dilengkapi dengan sistem suspensi elektronik Ohlins, RS didatangkan dengan fork Marzocchi boleh laras di hadapan dan penyerap hentak monoshock Sachs di belakang. Walaupun aspek ergonomik dan suspensi ditukar, model ini masih menggunakan rangka trellis dan lengan ayun yang sama.

Bukan itu sahaja, enjin juga dikekalkan. Ini bermakna Brutale 1000 RS dikuasakan oleh enjin 998 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 208 hp pada 13,000 rpm dan 116.5 Nm pada 11,000 rpm. Sebagai sebahagian daripada pembaharuan untuk 2022, enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Dari segi teknologi, model ini dilengkapi dengan sistem ABS Continental MK100 dengan RLM (Rear Wheel Lift-up Mitigation) dan fungsi Cornerning, Traction Control, Launch Control serta Quickshifter. Turut disertakan adalah skrin TFT berukuran 5.5 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk memaparkan sistem navigasi dan pelbagai lagi.

Seperti yang dijangka, harga jualan Brutale 1000 RS sedikit lebih murah jika dibandingkan dengan versi RR, iaitu €25,500 (RM124,755).

Previous post

Supercar Porsche Hancur Berkecai Dalam Kemalangan Berkelajuan Tinggi

Next post

Isuzu D-Max Boleh Didapati Dengan Pakej Huntsman Di UK

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *