Polis Buat Sekatan Jalan Raya Di ‘Port’ Lumba Haram Popular
Di mata orang biasa, tiada apa yang istimewa pun tentang Jalan Sungai Tua-Ulu Yam dan Jalan Batang Kali-Genting Highlands, namun bagi mereka yang bergelar ‘kaki kereta’ dan ‘mat motor’, kedua-dua jalan yang mempunyai banyak selekoh tajam ini ibarat litar lumba percuma yang boleh digunakan sewenang-wenangnya.
Sebenarnya, sudah bertahun lamanya jalan-jalan ini dijadikan lokasi individu yang tidak bertanggungjawab melempiaskan nafsu permotoran mereka. Apakah tindakan yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ini sebelum lebih banyak nyawa yang tidak bersalah melayang?
Sekatan jalan raya (SJR) adalah satu tindakan yang wajar dan memang sering dilakukan oleh pihak berkuasa namun untuk mengatakan yang ia mampu menghentikan kegiatan lumba haram ini secara total adalah tidak tepat. Buktinya, SJR yang dijalankan oleh polis daerah Hulu Selangor di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam dan Jalan Batang Kali-Genting Highlands baru-baru ini mendapati masih ada segilintir pemandu yang tidak mengikut peraturan jalan raya.
Menurut Polis Daerah Hulu Selangor menerusi kiriman di laman Facebook rasminya, sebanyak 72 buah kereta, 22 buah motosikal, tiga MPV dan dua buah lori telah ditahan sepanjang SJR tersebut diadakan. 19 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran manakala 19 saman lagi dikeluarkan untuk pelbagai jenis kesalahan trafik.
Benar, kiriman tersebut tidak menyatakan secara spesifik sebab kereta-kereta sport dan supercar tersebut ditahan, namun sejujurnya penulis tidak boleh fikir kesalahan lain selain berlumba haram atau memandu secara melulu. Komen-komen yang ditinggalkan oleh pembaca juga menunjukkan yang kegiatan tersebut masih lagi berlaku dan mereka sudah mula marah dengan golongan ini.
Apa-apa pun, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang lebih tegas bagi memastikan yang kedua-dua jalan ini tidak terus dijadikan litar lumba oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Untuk jangka masa pendek, pihak berkuasa mungkin boleh mengenakan kompaun maksimum dan tindakan sita dalam usaha untuk menguburkan terus kegiatan ini. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah lain yang boleh diambil?
No Comment