Toyota Corolla Cross Hybrid Bakal Dilancarkan Bulan Depan?
Sebelum ini, kami melaporkan yang UMW Toyota Motor akan melancarkan sesuatu pada 27 September 2021. Rupa-rupanya, syarikat itu hanya menekankan komitmen mereka terhadap elektrifikasi di Malaysia menerusi pelancaran teknologi Hibrid Elektrik (HEV).
Bagaimanapun, imej-imej yang disiarkan bersama dengan siaran media mengandungi lakaran sebuah SUV yang kelihatan tidak ubah seperti Toyota Corolla Cross Hybrid. Ini menguatkan lagi desas-desus yang mengatakan bahawa model itu akan dipasang secara tempatan (CKD) tidak lama lagi.
Bukan itu sahaja, laman web UMW Toyota Motor turut menunjukkan kiraan masa untuk “Live Hybrid Film Prepare” yang akan berlangsung dalam 16 hari lagi iaitu 14 Oktober 2021. Adakah Corolla Cross Hybrid CKD akan dilancarkan secara rasmi pada hari tersebut? Sama-sama kita saksikan.
Penekanan Toyota ke arah elektrifikasi kenderaan membuktikan komitmennya untuk mencapai neutraliti karbon, sebuah topik utama yang turut dibincangkan ketika Sidang Kemuncak Pemimpin berkenaan Iklim pada April 2021, selari dengan usaha global untuk mencapai sifar pembebasan gas CO2.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, syarikat itu positif yang HEV adalah pilihan realistik dan paling mudah dicapai untuk pelanggan di Malaysia dari segi praktikaliti dan prasarana, dengan potensinya yang juga sangat besar.
“Ia menjadi jambatan yang sangat realistik ke arah elektrifikasi kenderaan sementara usaha masih dijalankan untuk membolehkan BEV menjadi kenyataan, misalnya aspek pengurangan kos, penambahbaikan campuran tenaga dan pembangunan prasarana,” ujar Takeyama.
Dari segi pembebasan CO2, kedua-dua HEV dan BEV (kenderaan bateri elektrik) mempunyai nilai yang hampir sama dalam proses pengeluaran kenderaan, janaan tenaga dan pemilikan bagi tempoh 10 tahun, menjadikan HEV sama berkesan dengan BEV, berdasarkan campuran tenaga semasa di Malaysia.
Menurut UMW Toyota, rakyat Malaysia ada banyak sebab untuk berasa teruja memandangkan teknologi hibrid elektrik ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang berkuasa, maju dan pintar. Berikut adalah antara kelebihannya:
- Dwi-kuasa: Menggabungkan enjin petrol yang cekap dengan dua motor elektrik, sinergi kedua-dua sumber tenaga itu memberikan kecekapan, pemanduan, prestasi dan jarak perjalanan yang jauh.
- Senyap: HEV Toyota direka untuk menjadi sangat menyeronokkan untuk dipandu, menawarkan tahap lebih tinggi bagi prestasi, kepekaan, pecutan dan kendalian, dan dalam masa sama memberikan tahap lebih baik bagi aspek kebisingan, gegaran dan kekerasan (NVH). Ia juga mempunyai mod EV.
- Dibina untuk ketahanan: Dibangun berdasarkan reputasi Toyota yang menawarkan kenderaan supaya boleh diharap dan tahan lasak, generasi baru HEV ini mampu bertahan ketika diuji di hadapan masa, permukaan jalan dan jarak.
- Kurang pembebasan gas: Strateginya adalah untuk membangunkan kenderaan yang tidak hanya menghasilkan kurang pembebasan gas, tetapi untuk menerapkan proses dan teknologi baru untuk mengurangkan jumlah sumber dan tenaga yang diperlukan dalam pengeluaran kenderaan tersebut.
- Teknologi juara: Kemajuan teknologi akan terus diuji dengan cermat dan akan dibuktikan melalui penglibatan Toyota dalam sukan permotoran antarabangsa. Ini termasuklah acara tersohor seperti perlumbaan endurance Le Mans 24 Hours dan Kejuaraan Rali Dunia.
No Comment