Yamaha MT-15 Kini Dengan Tiga Warna Baharu
Belum pun sampai setahun dilancarkan di Malaysia, Yamaha MT-15 kini sudah boleh didapati dalam tiga warna baharu iaitu biru, hitam dan kelabu, menggantikan warna Ice Fluo dan Yamaha Blue yang ditawarkan sebelum ini.
Bagaimanapun, untuk model 2021, harga MT-15 dikekalkan iaitu RM11,988 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), setiap pembelian didatangkan dengan kunci brek cakera bernilai RM100, berserta jaminan pengeluar selama dua tahun atau untuk 20,000 km.
Menguasakan MT-15 adalah enjin silinder tunggal bersesaran 155 cc yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac Assist & Slipper. Dilengkapi dengan teknologi sejukan cecair, enjin tersebut menghasilkan 19.3 PS pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm pada 8,500 rpm.
Sebagai model terkecil dalam barisan MT, jentera ini mempunyai ukuran panjang 1,965 mm, lebar 800 mm dan tinggi 1,065 mm. Tempat duduk berada 810 mm dari tanah, manakala kapasiti tangki minyak adalah 10 liter. Berat keseluruhannya pula adalah sekitar 133 kg.
MT-15 didatangkan dengan suspensi jenis fork teleskopik pada bahagian hadapan dan lengan ayun berkembar dengan monoshock pada bahagian belakang. Ia menggunakan rim berukuran 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, serta brek cakera.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan lampu LED berkembar dan panel meter LCD.
No Comment