Aston Martin DBX Arden Green Dilancarkan Di Malaysia
Hampir setahun selepas memperkenalkan DBX – Intrepid Aura, Aston Martin Kuala Lumpur kini memperkenalkan pula DBX Arden Green yang dikustomkan dengan spesifikasi khas untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan pada harga RM1,072,000 (tidak termasuk duti dan cukai).
Seperti yang tertera pada namanya, DBX ini didatangkan dalam warna Arden Green yang menampilkan rona hijau kekelabuan yang diinspirasikan daripada sejarah Aston Martin dalam arena sukan permotoran. Ia dikontraskan dengan upholsteri kulit perang (Tan) pada bahagian dalaman.
Untuk penampilan yang lebih menonjol, SUV berprestasi tinggi ini juga mendapat elemen-elemen berwarna gelap pada bahagian luaran dan dalaman. Ini termasuklah lampu belakang dengan efek smoked, pakej Gloss Black luaran, pakej Dark Satin Chrome dalaman, dan upholsteri kulit Obsidian Black pada bahagian atas papan pemuka.
Satu lagi keistimewaan DBX Arden Green adalah ia dilengkapi dengan sistem ekzos sport. Dengan mengubah penghalaan gas ekzos, ia akan menghasilkan runut bunyi yang lebih mendalam dan agresif berbanding sistem ekzos standard. Sementara itu, injap aktif pula membolehkan sistem ekzos itu menghasilkan bunyi yang bersesuaian dengan situasi pemanduan atau mod yang dipilih.
Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 550 PS pada 6,500 rpm dan 700 Nm dari 2,200 hingga 5,00 rpm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 291 km/j dengan bantuan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda.
Sebagai pelengkap, DBX Arden Green juga didatangkan standard dengan pakej Convenience yang merangkumi tailgate kuasa dengan kawalan gestur, sistem parkir automatik Park Assist serta kawalan pad sentuh untuk paparan sistem infohibur.
No Comment