Audi R8 V10 performance RWD Hadir Dengan Tambahan 30 PS
Kelibat Audi R8 generasi kedua agak jarang kelihatan di jalan raya di Malaysia. Ia tidak seperti R8 generasi pertama yang amat popular di sini dek kerana lambakan di pengedar-pengedar kenderaan terpakai, ditambah pula dengan kemunculannya dalam filem Iron Man.
Apa apa pun, kembar kepada Lamborghini Huracan ini masih mendapat permintaan di Eropah dan oleh itu, Audi telah memperkenalkan versi baharu yang dikenali R8 V10 performance RWD. Seperti sebelum ini, ia ditawarkan dalam versi Coupe dan Spyder.
Enjin 5.2-liter V10 FSI telah ditala semula dan hasilnya, kuasa meningkat dari 540 PS kepada 570 PS, manakala tork turut bertambah sebanyak 10 Nm kepada 550 Nm. Output disalurkan ke roda belakang oleh transmisi S tronic tujuh kelajuan yang digandingkan dengan Limited Slip Differential mekanikal.
Dari segi prestasi, versi Coupe boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 329 km/j. Versi Spyder, walaupun mempunyai bumbung terbuka fabrik, tidak kurang hebatnya dengan catatan 3.8 saat dan kelajuan maksimum 327 km/j.
Seperti versi-versi terdahulu, badan R8 diperbuat daripada aluminium menggunakan rekaan Audi Space Frame (ASF) dengan gabungan komponen Carbon Fibre Reinforced Plastic (CFRP). Versi coupe mempunyai berat keseluruhan 1,590 kg, manakala versi Spyder pula 1,695 kg.
Selain enjin lebih berkuasa, Audi turut menala semula sistem suspensi double wishbone dan Electronic Stabilization Control (ESC) khusus untuk pemanduan roda belakang. Ini secara tidak langsung membolehkan pemandu melakukan drift di dalam mod Sport. Satu lagi ciri baharu pada model ini adalah stereng Dynamic yang berfungsi untuk memberikan tindak balas stereng yang lebih tepat.
Dari segi penampilan, R8 V10 performance RWD hadir dengan elemen-elemen yang diinspirasikan daripada R8 GT4 seperti gril radiator Singleframe berwarna hitam matte, lubang ambilan udara yang besar, splitter hadapan dan juga muncung ekzos bujur. Ia menggunakan rim aluminium berukuran 19 dan 20 inci dan brek cakera keluli 18 inci. Kedua-duanya boleh dinaik taraf.
Ruang dalaman pula menampilkan kluster instrumen digital (Audi virtual cockpit) berukuran 12.3 inci, stereng yang dibalut kulit serta pilihan tempat duduk sport atau kerusi bucket, dengan upholsteri kulit dan Alcantara.
Dihasilkan di kilang pengeluaran Böllinger Höfe milik Audi yang terletak di Neckarslum, Jerman, R8 V10 performance RWD dijual pada harga bermula dari €149,000 (RM719,625) bagi versi Coupe dan €162,000 (RM782,411) bagi Spyder.
No Comment