BMW 2 Series Active Tourer Tampil Dengan Rekaan Segar, Kabin Ala iX
BMW 2 Series Active Tourer bukanlah satu model yang popular di Malaysia namun di Eropah, kejayaan model itu tidak boleh dinafikan. Sejak diperkenalkan tujuh tahun yang lalu, jualan model ini mencecah lebih 400,000 unit. 80 peratus daripada pembelinya tidak pernah memilik kereta BMW, jadi ia dilihat sebagai model yang sesuai untuk mereka yang ingin berjinak-jinak dengan jenama itu.
Oleh sebab itu, BMW telah mengambil keputusan untuk memperbaharui 2 Series Active Tourer sekali lagi, memberikannya reka bentuk yang lebih segar, lebih banyak kelengkapan canggih serta casis yang boleh menampung trenkuasa elektrik.
Dibina menggunakan platform FAAR yang turut digunakan oleh 1 Series dan 2 Series Gran Coupe, 2 Series Active Tourer didatangkan dengan pacuan roda hadapan seperti sebelum ini. Ia akan ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol dan satu diesel:
- 223i – 218 PS/360 Nm (enjin petrol 2.0 liter + sistem hibrid ringkas 48V)
- 220i – 170 PS/280 Nm (enjin petrol 1.5 liter + sistem hibrid ringkas 48V)
- 218i – 136 PS/230 Nm (enjin petrol 1.5 liter)
- 218d – 150 PS/360 Nm (enjin diesel 2.0 liter)
Kesemua varian diatas didatangkan dengan transmisi klac berkembar Steptronic tujuh kelajuan. Bukan itu sahaja, BMW juga akan memperkenalkan dua varian hibrid plug-in yang menggunakan teknologi eDrive generasi kelima pada masa hadapan.
Menurut BMW, casis model ini telah ditala semula bagi menjadikan ia lebih tegar, manakala ukuran track hadapan dan belakang juga lebih panjang berbanding sebelum ini. Ketepatan stereng turut diperbaik dengan menaik taraf sistem suspensi hadapan dan belakang. Fungsi Near-Actuator Wheel Slip Limitation kini menawarkan lebih tahap cengkaman dan kestabilan yang lebih tinggi.
Sistem brek terintegrasi adalah antara ciri baharu yang terdapat pada MPV kompak ini, begitu juga dengan redaman tambahan pada gandar hadapan. Pelanggan boleh mendapatkan sistem suspensi adaptif M yang turut merangkumi redaman frekuensi, stereng sport dan suspensi yang lebih rendah sebanyak 15 mm.
Dari segi reka bentuk, 2 Series Active Tourer tampil dengan permukaan yang lebih bersih dan kemas, dengan gril kidney besar sebagai elemen paling menyerlah. Lampu hadapan kini lebih langsing dan didatangkan standard dalam versi LED. Pelanggan bagaimanapun boleh menaik tarafnya kepada LED Adaptif dengan fungsi lampu membelok, lampu tinggi matrix dan pelbagai lagi.
Perubahan pada ruang dalaman jauh lebih dramatik. Kabin 2 Series Active Tourer kini lebih kemas dan bersifat minimalis, dengan beberapa elemen yang dipinjam daripada model iX seperti paparan melengkung dan perehat tangan ‘terapung’. Bilangan ruang storan turut ditambah dan kapasiti ruang but adalah antara 470 hingga 1,755 liter bagi 218i dan 218d, dan 415 hingga 1,405 liter bagi 220i dan 223i. Tailgate automatik adalah standard.
Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah:
- sistem navigasi BMW Maps
- empat port USB-C
- soket 12V pada konsol tengah dan di dalam ruang but
- sistem pendingin hawa automatik dua zon
- stereng kulit Sport
- sensor hujan
- Park Assist
- Reversing Assist Camera
No Comment