Motosikal / Skuter / Roda

Ducati Monster 2021 Tiba Di Malaysia Pada Harga RM69,900

Ducati Monster telah menjadi model penting bagi pengeluar motosikal dari Borgo Panigale itu sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 1993. Untuk 2021 dan tahun-tahun seterusnya, legasinya akan diteruskan oleh model serba baharu, yang kini boleh didapati di Malaysia pada harga promosi RM69,900.

Kami telah melaporkan tentang Monster 2021 ketika ia diperkenalkan di peringkat global pada Januari tahun ini, namun sebagai penyegar ingatan, berikut adalah apa yang anda perlu tahu tentang model naked terbaharu ini:

Trenkuasa

‘Nadi’ Monster baharu adalah enjin Testastretta 11° L-berkembar bersesaran 937 cc yang menghasilkan 111 hp pada 9,250 rpm dan 93 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini bukan sahaja lebih berkuasa daripada enjin yang digunakan pada Monster 821, malah lebih ringan sebanyak 2.4 kg.

Dengan sesaran yang lebih besar, tork kini diboleh dinikmati di semua peringkat rev, terutamanya pada julat rendah dan pertengahan. Prestasi ini diperhebatkan lagi dengan transmisi baharu yang didatangkan standard dengan Ducati Quickshifter Up/Down.

Casis

Menurut Ducati, casis jentera ini telah direka semula sepenuhnya dari mula. Rangka aluminium hadapan mempunyai konsep yang sama dengan Panigale V4 – pendek dan dipasang terus pada kepala enjin. Dengan berat hanya 3 kg, ia 4.5 kg lebih ringan berbanding rangka trellis terdahulu.

Bukan itu sahaja, rim dan lengan ayun juga masing-masing 1.7 kg dan 1.6 kg lebih ringan. Langkah-langkah pengurangan berat ini membantu mengurangkan berat kering Monster kepada 166 kg, sekaligus menjadikan ia 18 kg lebih ringan berbanding 821.

Untuk ergonomik pula, pelana Monster berada pada ketinggian 820 mm dalam versi standard atau 775 mm jika kit suspensi rendah dipasang. Selain itu, bar hendal diposisikan lebih dekat dengan penunggang sebanyak 7 cm untuk posisi tunggangan yang lebih tegak, manakala sudut stereng ditingkatkan sebanyak 7 darjah kepada 36 darjah untuk kawalan yang lebih mudah pada kelajuan rendah.

Elektronik

Monster didatangkan standard dengan ABS Cornering, Traction Control dan Wheelie Control. Terdapat tiga mod tunggangan yang disediakan iaitu Sport, Urban dan Touring, semuanya boleh diakses menerusi panel TFT warna berukuran 4.3 inci yang mempunyai grafik lumba seperti Panigale V4.

Warna dan Kelengkapan

Ducati Malaysia menawarkan Monster dalam tiga warna iaitu Ducati Red dan Dark Stealth (kedua-duanya dengan rim hitam), serta Aviator Grey yang dilengkapi dengan rim GP merah. Pelanggan yang memilih pakej Monster Plus juga akan mendapat kelengkapan tambahan iaitu fairing hadapan dan pelindung tempat duduk pembonceng.

Previous post

BMW 2 Series Active Tourer Tampil Dengan Rekaan Segar, Kabin Ala iX

Next post

Audi R8 V10 performance RWD Hadir Dengan Tambahan 30 PS

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *