Honda Civic Si 2022 – Sedan Berjiwa Type R
Honda telah memperkenalkan Civic Si 2022 yang dibangunkan khas untuk pasaran Amerika Utara. Ditawarkan secara eksklusif dalam versi sedan berasaskan model generasi ke-11, model ini menjanjikan pemanduan yang mengujakan dengan enjin turbo yang dinaik taraf serta beberapa komponen Civic Type R.
Civic Si baharu dikuasakan oleh enjin VTEC Turbo 1.5-liter empat silinder yang dikatakan mempunyai lengkung kuasa yang lebih luas berbanding sebelum ini. Walaupun kuasa menurun dari 205 hp kepada 200 hp, tork sebanyak 260 Nm kini terhasil 300 rpm lebih awal iaitu pada 1,800 rpm.
Antara naik taraf yang diberikan adalah flywheel yang lebih ringan (26 peratus) yang menjadikan ia lebih ersponsif, serta sistem ekzos baharu yang lebih lawas (27 peratus). Bunyi asli dari sistem ekzos diperkuatkan lagi menerusi sistem Active Sound Control.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi manual enam kelajuan melalui Limited-Slip Differential. Transmisi tersebut bukan sahaja mempunyai lontaran yang lebih pendek (10 peratus), malah dilengkapi dengan sistem pemadanan rev yang diambil daripada Civic Type R.
Honda turut memberi perhatian kepada aspek pengendalian. Jika dibandingkan dengan Civic sedan, ia dilengkapi dengan gegelung yang lebih keras (lapan peratus di hadapan, 54 peratus di belakang), serta bar penstabil yang lebih tebal. Turut disertakan adalah peredam yang ditala khas.
Untuk meningkatkan kestabilan, Honda turut menggunakan bushing dan beberapa komponen Civic Type R. Bukan itu sahaja, cakera breknya juga lebih besar berbanding cakera yang digunakan pada Civic sedan. Model ini menggunakan rim 18 inci yang dipadankan dengan tayar ‘all season’ bersaiz 235/40. Tayar musim panas ditawarkan sebagai pilihan.
Di samping, mod pemanduan Normal dan Sport, Civic Si juga didatangkan dengan mod Individual yang membolehkan pemandu memilih respon enjin, stereng dan paparan panel instrumen secara individu. Mod Sport meningkatkan tindak balas pendikit, mengurangkan bantuan stereng, mematikan sistem Idle Stop, membolehkan pemandu memilih sistem pemadanan rev serta menukar pencahayaan panel instrumen dari putih kepada merah.
Dari segi penampilan, Civic Si mempunyai rekaan gril yang lebih agresif, lip spoiler pada bampar hadapan, spoiler pada but dan juga muncung ekzos berkembar. Ia didatangkan dengan rim 18 inci berwarna hitam matte serta cermin sisi dan bingkai tingkap hitam berkilat. Ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk sport, jahitan kontras merah, panel instrumen berukuran tujuh inci, skrin sentuh sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Bose.
No Comment