Honda CR-V Black Edition Dilancarkan – RM161,913
Honda Malaysia memperkembangkan barisan CR-V dengan pelancaran varian baharu yang dikenali sebagai CR-V Black Edition. Secara asasnya, ia merupakan pakej kosmetik yang berasaskan CR-V 1.5 TC-P 2WD. Ia dijual pada harga RM161,913.99 (OTR tanpa insurans), menjadikannya RM4,298.08 lebih mahal berbanding varian yang 1.5 TC-P 2WD.
Sesuai dengan namanya, CR-V Black Edition hanya boleh didapati dalam warna Crystal Black Pearl, yang tidak pernah ditawarkan pada model generasi semasa sebelum ini. Di samping warna baharu itu, ia juga didatangkan dengan gril, bampar hadapan dan belakang berwarna hitam, serta rim aloi 18 inci dengan kemasan Piano Black.
Ruang dalaman pula menampilkan trim Piano Black pada stereng, bingkai unit sistem infohibur dan corong pendingin hawa. Konsol tengah, papan pemuka dan trim pintu pula kini menampilkan kemasan kayu hitam. Malah, pelapik bumbung juga didatangkan dalam warna yang sama. Akhir sekali, terdapat sulaman “Black Edition” pada tempat duduk hadapan.
Lain-lain, CR-V Black Edition hadir dengan kelengkapan yang sama dengan varian yang diasaskannya iaitu 1.5 TC-P 2WD. Ini termasuk sistem keselamatan Honda Sensing, Power Tailgate dan enjin 1.5 VTEC Turbo yang menghasilkan 193 PS dan 243 Nm, dengan transmisi CVT yang menggerakkan roda hadapan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata CR-V model generasi kelima yang dilancarkan buat pertama kali pada 2017 telah mengekalkan momentum jualannya dengan lebih 43,000 unit terjual setakat ini. Ia juga mendominasi segmen SUV Bukan Nasional dengan pegangan pasaran 24 peratus setakat Ogos 2021.
No Comment