Hyundai Staria Premium Dibuka Untuk Tempahan Di Malaysia
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini mengesahkan yang Hyundai Staria akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.
Disasarkan untuk golongan profesional dan keluarga urban aktif, MPV mewah itu akan ditawarkan dalam varian Premium yang membawakan konfigurasi tujuh tempat duduk, dengan dua tempat duduk di barisan tengah dan tiga di belakang. Bergantung pada susun atur tempat duduk, ia mampu menawarkan ruang kargo sehingga 5,000 liter.
Selain itu, kelengkapan lain yang dijangka akan turut ditawarkan pada versi pasaran Malaysia adalah panel instrumen digital berukuran 10.25 inci, skrin sentuh pada bahagian tengah papan pemuka, port USB pada konsol tengah dan pelbagai ruang storan.
Staria Premium dikuasakan oleh enjin turbodiesel CRDi 2.2-liter yang menghasilkan 177 PS dan 431 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang.
Dari segi reka bentuk, bahagian luaran Staria menampilkan rekaan futuristik yang diinspirasikan daripada kapal angkasa, manakala ruang dalamannya pula direka berdasarkan ruang lounge kapal pelayaran mewah dengan ciri-ciri seperti tingkap panorama yang luas dan sistem pencahayaan ambien.
Seperti yang boleh dilihat, jalur lampu nyalaan siang LED yang merentangi bahagian hadapan manakala lampu utama pula diposisikan lebih rendah pada bahagian gril. Di belakang, terdapat lampu belakang menegak dengan rekaan Parametric Pixel seperti yang digunakan oleh Ioniq 5.
Unik untuk varian Premium adalah corak mesh pada gril radiator, rim 18 inci serta trim gangsa pada logo Hyundai di hadapan, rim, cermin sisi dan pemegang pintu
Staria Premium kini dibuka untuk tempahan di semua bilik pameran Hyundai di seluruh negara. Pelanggan juga boleh membuat tempahan menerusi platform dalam talian Hyundai iaitu Cl!ck to Buy.
No Comment