Lexus ES 250 Versi 2021 Dilancarkan Di Malaysia – Dari RM295k
Lexus Malaysia hari ini melancarkan Lexus ES yang telah dinaik taraf dengan penampilan lebih segar dan sistem keselamatan baharu. Sedan mewah ini hadir dalam versi ES 250 yang boleh didapati dalam tiga varian iaitu Premium, Luxury dan yang terbaharu, F Sport.
Dari segi reka bentuk, gril spindle yang merupakan trademark Lexus kini menampilkan corak L dengan penekanan kepada aliran lateral dan corak mesh L bersilang dalam untuk varian F Sport. Selain itu, varian sporty itu juga bukaan udara yang lebih besar pada sudut bampar.
Lampu hadapan juga diberikan sentuhan baharu. Varian Premum mendapat unit projektor Bi-LED manakala Luxury dan F Sport pula mendapat lampu LED tiga-tahap ultara-kompak dengan lampu nyalaan siang. Sebagai varian tertinggi, ES 250 F Sport didatangkan dengan rim aloi 19 inci dalam warna Dark Premium Metallic, manakala dua varian lagi dengan rim 18 inci.
Pelanggan boleh memilih daripada lapan warna bagi Premium dan Luxury. Selain dua warna baharu – Sonic Iridium dan Sonic Chrome – turut tersedia ialah Sonic Quartz, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Red Mica Crystal Shine, Ice Ecru Mica Metallic dan Deep Blue Mica. Varian F Sport pula boleh ditempah dalam dua warna eksklusif – Heat Blue Contrast Layering atau White Nova Glass Flake – atau Sonic Iridium, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Sonic Chrome dan Red Mica Crystal Shine.
Untuk ruang dalaman varian Premium dan Luxury, ada kemasan hitam dengan Black Walnut atau Brown Walnut dengan upholsteri Hazel. Selain itu, Luxury juga ditawarkan dengan kemasan Black Walnut dan balutan Mauve, manakala kemasan aluminium dengan upholsteri Flare Red atau Black dikhaskan hanya untuk F Sport.
Dikemas kini untuk operasi lebih lancar, skrin sentuh warna berukuran 12.3 inci (lapan inci pada Premium) telah dialihkan kedudukannya 112 mm lebih dekat dengan penumpang dan dicondongkan lima darjah ke arah pemandu. Slot USB juga telah dinaik taraf kepada Type-C untuk sambungan yang lebih mudah dengan peranti mudah alih masa kini. Turut disertakan adalah sistem penjana ion Nanoe-X yang memperbaiki kualiti udara di dalam kabin.
Varian F Sport mendapat beberapa ciri eksklusif yang menggariskan sifat sporty-nya. Ini termasuk grafik unik pada jam analog, gelung logam 3D pada panel instrumen seperti yang terdapat pada Lexus LFA, stereng F Sport dan tombol gear yang dibalut kulit, pedal sport dan perehat kaki aluminium.
Ketiga-tiga varian ES 250 dikuasakan oleh enjin petrol 2.5 liter DOHC A25A-FKS yang menghasilkan 204 hp pada 6,600 rpm dan 247 Nm pada 5,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan. Gabungan ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.1 saat dan mencecah kelajuan maksimum 210 km/j.
Sistem keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+) disertakan secara standard. Bagi model ini, Sistem Pra-Perlanggaran (PSC) didatangkan dengan ciri pengesanan penunggang basikal waktu siang, manakala pengesanan pejalan kaki turut diperbaiki dengan cara meningkatkan sensitivit dan julat dinamik kamera.
Elemen-elemen lain yang terdapat dalam LSS+ adalah Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan Fungsi Start & Go; Bantuan Pengekalan Lorong; Bantuan Mengesan Lorong (LTA) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA); dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS).
AHS kini lebih maju dengan teknologi BladeScan, yang mengawal dengan tepat agihan cahaya, sekaligus meluaskan lagi julat pencahayaan lampu tinggi bagi membolehkan pemandu mengenal pasti pejalan kaki dan papan tanda tanpa menyilaukan pemandu dari arah bertentangan.
Turut disertakan adalah Sistem Lampu Depan Adaptif (AFS) yang mengarahkan lampu mengikut arah pergerakan stereng, Amaran Lalu Lintas Trafik di Belakang (RCTA) dan Brek Sokongan Parkir (PKSB).
Lexus ES 2021 baru ini akan berada di bilik pameran Lexus bermula 31 Oktober 2021 dengan tempahan awal dibuka hari ini melalui semua enam cawangan rasmi Lexus Malaysia. Harga jualan (atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian SST) bermula dari RM295,663.50 untuk varian Premium, RM329,910.50 untuk Luxury dan RM345,134 untuk F Sport.
No Comment