Mazda CX-50, CX-60, CX-70, CX-80, CX-90 Diumumkan
Mazda mengesahkan bahawa ia merancang untuk memperkembangkan barisan SUV-nya dengan lima model serba baharu, yang mana semuanya akan diperkenalkan dalam tempoh dua tahun akan datang iaitu antara 2022 hingga 2023.
Ia akan bermula dengan CX-50, yang tergolong dalam kumpulan Small Product di samping Mazda3 dan CX-30. Tidak banyak maklumat mengenainya buat masa ini, namun crossover ini berkemungkinan besar akan tampil dengan platform dan pilihan enjin yang sama dengan dua model tersebut.
CX-50 akan ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Amerika Utara sahaja, dengan pengeluarannya dijangka bermula pada Januari tahun hadapan di kilang Mazda-Toyota yang terletak di Huntsville, Alabama. Menurut Mazda, CX-50 akan diperkenalkan sebagai model teras baharu, jadi desas-desus mengenainya menggantikan CX-5 (gambar utama) adalah tidak benar.
Sementara itu, kumpulan Large Product pula bakal menyaksikan penambahan CX-60, CX-70, CX-80 dan CX-90. Model-model ini boleh didapati dalam dua jenis badan, normal dan lebar, dengan pilihan konfigurasi dua atau tiga baris tempat duduk.
Menyertai CX-50 di Amerika Utara dan pasaran-pasaran terpilih yang lain di mana model-model bersaiz besar menjadi pilihan adalah CX-70 dan CX-90. Kedua-duanya menampilkan badan jenis lebar namun CX-70 mempunyai dua baris tempat duduk manakala CX-90 pula mempunyai tiga baris tempat duduk. Sementara itu, CX-60 dan CX-80 pula direka khas untuk pasaran dengan jalan-jalan yang sempit dan ruang parkir yang kecil seperti Eropah dan Jepun.
Trenkuasa
Menurut Mazda, ia menyasarkan untuk mengelektrifikasi semua model keluarannya menjelang 2030. Oleh itu, semua model yang bakal ke pasaran Eropah akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid plug-in yang menampilkan enjin petrol empat silinder yang digabungkan dengan motor elektrik, di samping enjin enam silinder sebaris Skyactiv-X (petrol) dan Skyactiv-D (diesel) dengan sistem hibrid ringkas 48V.
Di Amerika Syarikat, CX-50, CX-70 dan CX-90 akan mendapat enjin petrol turbo enam silinder sebaris dan sistem hibrid plug-in, manakala di Jepun pula, Mazda akan terus menawarkan varian Skyactiv-D enam silinder sebaris dengan sistem hibrid ringkas 48V bagi memenuhi permintaan pelanggan di negara itu.
MX-30
Pada masa yang sama, Mazda mengumumkan yang MX-30 versi range-extender yang dikuasakan oleh enjin rotari bakal tiba dalam separuh pertama tahun hadapan. Syarikat itu juga berkata bahawa ia akan memperkenalkan barisan produk baharu yang menggunakan platform EV bermula 2025.
No Comment