Mitsubishi Akan Hantar Kereta Baharu Anda Terus Ke Rumah
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian ke tahap seterusnya dengan pelancaran perkhidmatan penghantaran ke rumah atau Home Delivery Service.
Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi berkata buat masa ini perkhidmatan tersebut hanya akan ditawarkan di seluruh Lembah Klang, diikuti dengan kawasan-kawasan lain pada masa hadapan.
“Sedang Malaysia membuat persiapan untuk beralih dari fasa pandemik ke endemik, Mitsubishi Motors berusaha untuk memastikan perkhidmatan digital kami ditambah baik untuk keselamatan dan kemudahan para pelanggan,” tambah beliau.
Dengan pelancaran perkhidmatan ini, MMM kini menawarkan khidmat digital sehenti yang lengkap, bermula dari bilik pameran maya, tempahan sesi pandu uji Test Drive 2U, tempahan dan tukar beli dalam talian hinggalah penghantaran terus kenderaan ke kediaman.
Perkhidmatan penghantaran ke rumah ini akan ditawarkan kepada pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftar kenderaan baharu Mitsubishi menerusi bilik pameran dalam talian syarikat itu.
Bagi menjadikannya lebih menarik, pelanggan yang menempah dan mendaftar sebuah Mitsubishi Triton baharu dengan menggunakan kod promo 4SUREBELI di bilik pameran dalam talian Mitsubishi akan mendapat sehelai jacket North Face edisi terhad. Promosi ini sah sehingga 31 Disember 2021.
No Comment