Mitsubishi Outlander Terima Anugerah 10 Ruang Dalaman Terbaik WardsAuto
Apabila ia diperkenalkan di peringkat global pada Februari lalu, Mitsubishi Outlander generasi keempat mengagumkan orang ramai dengan rekaan luaran dan dalamannya yang menakjubkan. Rekaan ruang kabinnya sangat mengagumkan sehinggakan ia dinobat sebagai salah satu daripada 10 ruang dalaman terbaik oleh WardsAuto.
Menurut juri Drew Winter, Outlander yang dipandu uji oleh mereka dilengkapi dengan pakej SEL Touring yang ditawarkan secara pilihan. Ia merangkumi panel pintu kulit sintetik berwarna hitam dan coklat, jahitan oren kontras pada papan pemuka dan perehat tangan, serta jahitan bermotifkan berlian seperti logo Mitsubishi. Pemanas stereng, bumbung suria panoramik dan sistem audio Bose dengan 10 pembesar suara turut disertakan.
Winter berkata pada harga $38,590 (RM162,032), ruang dalaman Outlander menonjol berbanding pesaing-pesaingnya dengan kemawahan yang ditawarkan, sambil menambah warna dan tekstur yang kaya selalunya hanya boleh didapati di dalam kereta-kereta yang lebih mahal.
Dari segi kefungsian, Winter berkata kluster instrumen digital 12.3 inci boleh disambungkan ke telefon dengan pantas, memberikan pengguna akses kepada pelbagai maklumat berguna seperti cuaca, trafik, laporan sukan, lokasi stesen minyak dan parkir, serta pasaran saham.
Sama intuitif adalah paparan infohibur berukuran sembilan inci yang menawarkan peta 2D dan 3D, serta kebolehan untuk mencari lokasi dengan hanya memasukkan nama jalan. Pengalaman ini dilengkapkan lagi dengan adanya paparan head-up yang memaparkan arahan navigasi.
Selain itu, pemandu boleh juga menggunakan dua kamera undur dan satu kamera hadapan untuk membantu mereka memarkir Outlander. Winter juga mendakwa bahawa ciri Brake Assist yang disertakan berjaya mengelakkan pelanggaran.
No Comment