Pandu Uji

Pandu Uji: Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan – Bagai Suntikan Adrenalin

Jenama Mercedes-Benz dahulunya lebih sinonim dengan pelanggan dari golongan profesional yang berusia. Cuba anda fikir balik, 10 atau 15 tahun dahulu, agak sukar untuk melihat mereka yang berusia bawah 40 tahun memandu sebuah Mercedes-Benz. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tanggapan itu semakin pudar dengan pengenalan barisan kompak A-Class, CLA-Class dan GLA-Class.

Walaupun ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik, rekaan dan teknologi yang dibawa oleh ketiga-tiga model ini boleh dikatakan setanding dengan model-model keluaran Mercedes-Benz yang lain. Malah, ketiga-tiganya juga boleh didapati dalam ‘perisa’ AMG bagi memikat lagi golongan muda yang rata-ratanya inginkan sesuatu yang lebih laju dan mengujakan.

Bagi A-Class versi sedan atau nama rasminya, “Limousine”, versi paling berkuasa yang boleh didapati di Malaysia adalah A35. Dari segi prestasi keseluruhan, ia mungkin tidak seagresif A45 dan A45 S yang ditawarkan dalam versi hatchback, namun jentera ini masih boleh membuatkan bulu-bulu roma tegak berdiri setiap kali pendikitnya ditekan.

Sebenarnya, penulis tidak perlu untuk masuk ke dalam dan menekan butang penghidup enjin untuk berasa teruja. Cukuplah dengan melihatnya dari luar sahaja, jentera dari Affalterbach ini memancarkan auranya menerusi pakej penggayaan AMG Line yang merangkumi rekaan bampar lebih sporty, spoiler pada bahagian but dan diffuser dengan sepasang muncung ekzos.

Bukan itu sahaja, model ini juga boleh dibezakan dengan rim aloi AMG bersaiz 19 inci. Untuk sebuah kereta yang memakai lencana AMG, penggayaan A35 boleh dikatakan agak sederhana dan tidak terlalu menonjol. Tiada canard pada bampar hadapan, spoiler yang tinggi mahupun pelekat sporty pada bahagian sisi badan, namun begitu ia masih mampu menarik perhatian.

Untuk bahagian dalaman pula, tanpa ragu lagi, A-Class memiliki rekaan ruang kabin yang terbaik dalam kelasnya dan A35 juga tiada bezanya. Tarikan utama di sini adalah panel paparan yang menempatkan dua skrin masing-masing berukuran 10.25 inci, serta sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan ciri arahan suara yang boleh diaktifkan dengan menyebut “Hey Mercedes.”

Sudah tentu, A35 turut menampilkan beberapa elemen AMG seperti stereng flat bottom yang dibalut material kulit dan Dinamica, trim aluminium dengan jalur hitam dan tulisan AMG pada papan pemuka, serta tali pinggang keledar merah. Turut disertakan adalah grafik khas AMG pada panel instrumen dan skrin tengah, dan paparan ‘head up’ yang memaparkan kelajuan, rpm dan kedudukan gear.

Seperti A250, nadi A35 juga adalah enjin turbo 2.0-liter empat silinder namun dalam aplikasi AMG, unit M260 itu ditala untuk menghamburkan kuasa yang lebih tinggi iaitu 306 PS dan 400 Nm. Hamburan kuasa yang tinggi ini kemudiannya disalurkan ke roda oleh transmisi AMG Speedshift tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Gabungan ini membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.8 saat.

Angka-angka ini cukup mengagumkan, namun apakah maknanya dari segi pengalaman pemanduan? Perkara pertama yang penulis perasan ketika memandu sedan ini adalah ia tidak jauh berbeza dengan A250 dalam situasi pemanduan biasa. Namun, apabila pendikit ditekan, enjinnya boleh diibaratkan sebagai binatang buas yang dikejutkan daripada tidur, di mana ia terus ‘bangun’ dan mengaum seperti tiada hari esok.

Ketika inilah penulis dapat merasakan sensasi pemanduan yang sering diperkatakan mengenai AMG. Walaupun dalam mod Comfort, ia tiada masalah untuk mencapai dan melepasi kadar had laju kebangsaan dengan pantas, asalkan kaki kanan terus menekan pendikit. Ya, ‘turbo lag’ boleh dirasakan pada julat rev rendah namun isu kecil itu akan hilang sebaik sahaja jarum tachometer melepasi kira-kira 2,500 rpm.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila penulis memasuki mod Sport atau Sport+. Bagaikan suntikan adrenalin, mod ini menjadikan pendikit lebih responsif dengan input yang diberikan oleh kaki dan bunyi enjin lebih kuat. Sesuatu yang penulis tidak akan pernah merasa puas adalah mendengar bunyi letupan kecil dari ekzos apabila pendikit dilepaskan. Ia sememangnya sesuatu yang boleh membuatkan sesiapa sahaja ketagih.

Seperti yang boleh dijangka dengan transmisi klac berkembar, unit AMG Speedshift tersebut pantas dan responsif apabila kereta dipandu pada kelajuan tinggi. Cuma, ketika kereta bergerak pada kelajuan rendah, ketika tersekat dalam kesesakan trafik misalnya, ada rasa tersentak sedikit namun tidaklah sehingga mengganggu pemanduan. Bagi penulis, ia adalah sesuatu yang pemilik perlu jangkakan dengan transmisi jenis ini.

Bagaimana pula dengan sistem suspensi? Secara ringkasnya, peredam adaptif yang digunakan agak keras untuk jalan raya di Malaysia, walaupun dalam mod Comfort. Tidak ada masalah apabila kereta dipandu di atas jalan yang rata, namun di atas permukaan yang beralun atau berlubang-lubang, lebih baik anda kurangkan kelajuan kerana anda dan penumpang pasti akan melantun-lantun. Dengan ini, rasanya tidak perlulah penulis menceritakan bagaimana keadaannya dalam mod Sport dan Sport+.

Namun begitu, sistem suspensi ini ada kelebihannya iaitu ia mampu mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh tajam. Ditambah pula dengan sistem pacuan semua roda 4Matic, tahap cengkaman yang diberikan sentiasa cukup untuk kebanyakan situasi pemanduan agresif. ‘Understeer’ hanya akan dirasai jika anda memandu dengan terlalu laju di dalam selekoh.

Konklusi

Bagi penulis, A35 adalah sebuah kereta yang sangat versatil dan cukup selesa untuk kegunaan harian. Ia memang berkuasa dan pantas, namun ia tidak akan menakutkan pemandu sehingga menyukarkan pemanduan. Bukan itu sahaja, model ini juga cukup praktikal untuk mereka yang berkeluarga. Ruang lega kepala dan kaki di belakang agak memuaskan, manakala ruang but juga cukup besar iaitu 420 liter.

Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan

Jika ada satu perkara yang ingin penulis rungutkan, ia adalah harganya yang tidak masuk akal iaitu hampir RM350,000. Namun, inilah harga yang perlu dibayar untuk sebuah produk yang memakai lencana AMG yang menjadi kegilaan ramai.

Spesifikasi Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan
Enjin: turbo empat silinder sebaris
Kapasiti: 1,991 cc
Kuasa: 306 PS @ 5,800 rpm
Tork: 400 Nm @ 3,000 rpm
Transmisi: AMG Speedshift DCT 7 kelajuan
0-100 km/j: 4.8 saat
Kelajuan maksimum: 250 km/j
Harga: RM348,888

Previous post

Triumph Tiger Sport 660 Diperkenalkan Dengan Enjin Triple

Next post

Tayar Trak Pikap Dan SUV Michelin LTX Trail Dilancarkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *