Servis / Selepas Jualan / Penyelenggaraan / Mod

Suzuki DR Z400SM Kustom Hasilan oneYedeer

Secara asasnya, Suzuki DR Z400SM adalah sebuah supermoto yang seronok ditunggang terutamanya di jalan-jalan berselekoh namun reka bentuknya boleh dikatakan agak mengecewakan dan hambar. Bagaimanapun, dengan sedikit kreativiti dan bakat, ia boleh ditransformasikan menjadi motosikal yang lebih cantik pada pandangan mata seperti jentera berwarna hitam kuning ini.

Dibina oleh Mark dari Brooklyn Moto, yang kemudiannya menyerahkan projek ini kepada Sebastian ‘Seba’ Achaval yang beroperasi di bawah nama oneYedeer, DR Z400SM ini telah diubah suai sepenuhnya. Tanpa ekor dan fairing plastik, serta pelana ala motocross, ia langsung tidak sama seperti yang asal.

Tangki yang asal turut dikeluarkan dan digantikan dengan tangki Yamaha SR500. Selain itu, Seba turut menghasilkan subframe tiub berkembar baharu dan memasang pelana lebih pendek yang dibalut Alcantara di atasnya. Walaupun bersaiz kecil, tempat duduk tersebut masih boleh menampung pembonceng, jadi atas sebab itu, tempat letak kaki belakang dikekalkan. Terletak di bawah pelana tersebut adalah dua jalur LED yang bertindak sebagai lampu belakang.

Seterusnya, Seba beralih ke bahagian hadapan di mana beliau memasang lampu utama Ducati Scrambler dan juga fender minibike Honda ST70 Dax yang boleh diselaraskan ketinggian dan sudutnya. Pemuda dari Argentina itu turut menambah sudut pusingan stereng dan menggunakan komponen Triumph Thruxton.

Bagi memastikan motosikal ini memenuhi konsep rekaan yang kemas dan bersih seperti yang diminta oleh pemiliknya, radiator berkembar yang asal telah digantikan dengan radiator tunggal yang lebih besar yang diambil daripada Honda CBR500. Kipas dan sensor dikekalkan namun Seba menggunakan soket dan pendakap kustom.

Sementara itu, bahagian kokpit pula menampilkan bar hendal dan pengapit Rizoma, serta speedometer mini dari Motogadget. Sekali lagi, untuk mendapatkan rekaan yang kemas, wayar untuk suis dan lampu isyarat disembunyikan, manakala jalur brek diubah semula.

Menariknya, bahagian enjin tidak dibiarkan standard. Enjin 398 cc, empat lejang dengan teknologi penyejukan cecair itu kini dilengkapi dengan header kustom dan karburetor Mikuno yang telah ditala semula. Bukan itu sahaja, Seba turut menggunakan peredam Supertrapp bagi mendapatkan bunyi yang lebih menarik sebagai pelengkap pakej.

Previous post

Honda Civic Si 2022 - Sedan Berjiwa Type R

Next post

Mercedes-Benz Bakal Buka Pusat Logistik Selepas Jualan Di Johor Bahru

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *