UMW Toyota Kini Tawar Aksesori GR Untuk Empat Model
UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengumumkan penawaran aksesori GR yang eksklusif untuk GR Yaris, Vios GR-S, Vios dan Yaris.
Semua komponen itu boleh didapati secara eksklusif di lima GR Garage seluruh negara dan 39 cawangan GR (pengedar Toyota yang bersaing dalam siri perlumbaan Vios Challenge).
Berikut adalah senarai aksesori GR yang ditawarkan:
Eksklusif untuk GR Yaris edisi terhad dan hanya boleh didapati di GR Garage seluruh negara ialah lima naik taraf penggayaan dan prestasi, termasuk spoiler depan GR dengan lanjutan spoiler belakang, skirting sisi GR, spoiler bampar belakang GR, sports muffler GR dan set panel dalaman gentian karbon GR.
Aksesori lain turut tersedia untuk Vios GR-S, Vios dan Yaris. Ini bagaimanapun tidak termasuk butang suis penghidup GR, lencana GR serta pelapik kaki GR yang sudahpun didatangkan sebagai standard untuk Vios GR-S.
“Gazoo Racing merupakan sebuah nama yang mendapat perhatian meluas dalam pasaran tempatan sejak pertama kali kami memperkenalkan jenama itu pada 2017. Ia mewakili semangat aktiviti permotoran Toyota di seluruh dunia, dan ini telah diterjemahkan ke dalam beberapa usaha tempatan, termasuklah penganjuran Toyota Gazoo Racing Festival, siri perlumbaan Vios Challenge, Kejuaraan Gazoo Racing Velocity Esports, pengenalan kenderaan GR eksklusif, pelancaran Vios GR-S di Malaysia dan penubuhan Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing untuk pemandu baru,” ujar Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. pula berkata ketersediaan aksesori GR ini membolehkan pelanggan menjadikan kereta mereka lebih personal dan unik, terutama mereka yang berkongsi minat yang sama dalam sukan permotoran.
“Dengan model GR mempunyai susur galurnya yang tersendiri, jenama GR pula tidak hanya terhad kepada prestasi semata-mata. Jenama itu juga membawa semangat keseronokan pemanduan, dan inilah apa yang boleh dijangkakan oleh pelanggan dengan adanya penawaran aksesori ini,” tambah beliau.
Semua alatan dan aksesori GR datang dengan jaminan setahun dan untuk memastikan pemasangan yang betul, pelanggan boleh melakukannya di GR Garage dan cawangan GR yang ada.
Lima GR Garage tersebut adalah Fokus Tetap (Shah Alam, Selangor), PCM Klang Motor (Klang, Selangor), Wing Hin Auto (Balakong, Selangor), Telagamas (Kulim, Kedah) dan Mutiara Motorsports (Masai, Johor). Untuk senarai lengkap cawangan GR pula, layari laman web UMW Toyota Motor di www.toyota.com.my.
No Comment