VOTY 2021//7-Seat SUV of the Year – Land Rover Discovery TD6 HSE
Jika anda mahukan sebuah SUV yang ultra mewah dan pada masa yang sama mampu mengharungi permukaan muka bumi yang mencabar tanpa sebarang masalah, tiada kenderaan lain yang lebih hebat daripada Land Rover Discovery. Harganya memang mahal, namun anda akan mula menghargai apa yang ditawarkan oleh jentera ini setelah memandunya.
Sebaik sahaja anda masuk ke dalam ruang kabinnya yang mewah, anda akan duduk dalam posisi memandu yang agak tinggi. Tanpa disedari, ini membuatkan anda lebih yakin kerana sudut pandangan menjadi lebih jelas, terutamanya ketika memandu di lebuh raya. Ia juga cukup lengkap dengan pelbagai jenis teknologi dan kelengkapan terkini, namun apa yang kami paling suka adalah ciri pelarasan elektrik yang membolehkan anda melipat semua kerusi dengan hanya menekan satu butang.
Enjin diesel enam silinder yang berada di bawah hud juga menawarkan kuasa dan tork yang tinggi yang terbukti cukup untuk menggerakkan SUV bersaiz besar ini dengan mudah dan lancar. Sistem suspensi udara bukan sahaja memberikan pemanduan yang cukup selesa, malah ia boleh dinaikkan atau diturunkan bergantung kepada keperluan.
Spesifikasi Land Rover Discovery TD6 HSE
Enjin: turbodiesel V6
Kapasiti: 2,993 cc
Kuasa: 297 PS @ 4,000 rpm
Tork: 600 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: automatik 8 kelajuan
0-100 km/j: 7.5 saat
Kelajuan maksimum: 209 km/j
Harga: RM770,744
Tentang Anugerah Vehicle of the Year (VOTY):
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 12 bulan dari 2020 layak untuk dicalonkan dalam anugerah ini. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami menilainya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
No Comment