VOTY 2021//Crossover of the Year – Hyundai Kona Smartstream
Bersaing dalam segmen yang didominasi oleh Honda HR-V sejak bertahun lamanya bukanlah sesuatu yang mudah, namun pujian harus diberikan kepada pihak Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) di atas percubaan berani syarikat itu untuk menjatuhkan pemegang takhta dengan Hyundai Kona.
Ya, reka bentuk adalah perkara subjektif namun kami sejujurnya merasakan yang Kona adalah model yang paling cantik di dalam segmennya. Rekaannya tidak membosankan, namun pada masa yang sama, tidaklah keterlaluan. Ruang kabinnya juga kemas dan selesa, dan kami boleh rasakan yang setiap bahan atau material yang digunakan adalah berkualiti tinggi.
Dari segi prestasi pula, varian Smartstream yang dipandu uji ini tidak mengecewakan. Walaupun tidak sepantas varian Turbo yang turut ditawarkan di Malaysia, ia sangat lancar dan responsif. Sistem suspensi juga seimbang, sesuai dengan statusnya sebagai sebuah crossover urban. Bukan itu sahaja, HSDM turut menyertakan pelbagai jenis sistem bantuan pemandu yang canggih (ADAS), jadi anda akan sentiasa berasa yakin apabila memandunya.
Spesifikasi Hyundai Kona Smartstream
Enjin: petrol empat silinder
Kapasiti: 1,999 cc
Kuasa: 149 PS @ 6,200 rpm
Tork: 180 Nm @ 4,300 rpm
Transmisi: Smartstream IVT
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM131,488
Tentang Anugerah Vehicle of the Year (VOTY):
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 12 bulan dari 2020 layak untuk dicalonkan dalam anugerah ini. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami menilainya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
No Comment