VOTY 2021//Electric Car of the Year – Porsche Taycan
Ketika Porsche Taycan diperkenalkan buat pertama kali pada 2019, ramai yang teruja dengan kehadiran kereta sport elektrik itu namun tidak kurang juga ada yang agak ragu-ragu dengannya dan mempersoalkan sama ada ia layak atau tidak memakai lencana jenama dari Stuttgart itu.
Bagi menghapuskan segala keraguan yang ada, pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) pada Mei lalu telah menjemput pihak media untuk menyertai sesi pandu uji Taycan di Litar Antarabangsa Sepang. Kami sempat memandu dua daripada empat varian yang ditawarkan iaitu Taycan 4S dan Taycan Turbo.
Rasanya cukup jika kami katakan yang ia boleh membuatkan sesiapa sahaja yang memandunya tersenyum lebar, sama seperti jika mereka memandu 911, 718 Cayman, Panamera, Cayenne, Macan atau apa sahaja model lain yang dikeluarkankan oleh Porsche. Ia tidak mempunyai enjin enam silinder sebaris dengan ngauman yang garang namun sistem pacuan elektrik yang digunakan oleh jentera ini akan memberikan anda satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Spesifikasi Porsche Taycan Turbo
Enjin: motor elektrik
Kapasiti: –
Kuasa: 680 PS dengan Overboost dan Launch Control
Tork: 850 Nm
Transmisi: automatik 2 kelajuan
0-100 km/j: 3.2 saat
Kelajuan maksimum: 260 km/j
Harga: RM999,000
Tentang Anugerah Vehicle of the Year (VOTY):
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 12 bulan dari 2020 layak untuk dicalonkan dalam anugerah ini. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami menilainya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
No Comment