Berita Auto

VOTY 2021//Hot Hatch of the Year – Suzuki Swift Sport

Suzuki menandakan kepulangannya ke pasaran Malaysia setelah beberapa tahun menyepi dengan pelancaran model hot hatch yang ditunggu-tunggi iaitu Swift Sport. Tidak seperti model-model terdahulu yang dikuasakan oleh enjin naturally aspirated (NA), Swift Sport generasi baharu tampil dengan enjin turbo. Namun adakah ini kelebihan utama model ini?

Mungkin tidak. Betul, enjin Boosterjet itu memberikan kuasa dan tork yang lebih tinggi berbanding versi terdahulu namun kami berpendapat bahawa Swift Sport tidak dibangunkan untuk kelajuan di laluan lurus semata-mata. Sebaliknya, ia lebih menyerlah di selekoh-selekoh tajam, di mana pengendaliannya terasa seperti sebuah go-kart.

Menariknya, Swift Sport tidak mempunyai pesaing terdekat ketika ini, sama ada dari segi harga mahupun segmen. Mini Cooper dijual pada harga yang jauh lebih mahal, manakala Volkswagen dan Ford pula tidak lagi menawarkan Polo GTI dan Fiesta ST di Malaysia. Jadi, jika anda ingin mendapatkan sebuah hot hatch yang seronok dipandu pada harga yang tidak terlampau mahal, inilah pilihan yang paling sesuai.

Spesifikasi Suzuki Swift Sport

Enjin: turbo empat silinder
Kapasiti: 1,373 cc
Kuasa: 140 PS @ 5,500 rpm
Tork: 230 Nm @ 2,500 – 3,500 rpm
Transmisi: automatik 6 kelajuan
0-100 km/j: 8.0 saat
Kelajuan maksimum: 205 km/j
Harga: RM139,900

Tentang Anugerah Vehicle of the Year (VOTY):

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 12 bulan dari 2020 layak untuk dicalonkan dalam anugerah ini. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami menilainya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Previous post

VOTY 2021//Pickup Truck of the Year - Isuzu D-Max X-Terrain

Next post

VOTY 2021//Crossover of the Year – Hyundai Kona Smartstream

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *