Acura Integra Prototype Didedahkan Secara Rasmi
Ia bukanlah satu rahsia yang Honda sedang menghidupkan kembali model Integra yang popular di bawah jenama Acura. Hari ini, Acura memberikan bayangan bagaimana agaknya rupa sebenar kereta sport itu menerusi Integra Prototype. Menurut syarikat itu, versi produksi akan tiba pada tahun hadapan sebagai model 2023 dengan harga sekitar $30,000 (RM124,914).
Seperti yang telah disahkan sebelum ini, Integra 2023 mempunyai lima pintu dan tailgate liftback yang memberikannya profil seakan sebuah kereta coupe. Walaupun ia diinspirasikan daripada model-model Integra yang terdahulu, penampilan model generasi kelima ini saling tak tumpah seperti model-model semasa Acura dengan gril Diamond Pentagon dan lampu LED dengan grafik lampu nyalaan siang LED berbentuk ‘chicane’.
Bagaimanapun, ia masih sebuah kereta yang tampan. Di belakang, gerbang roda yang lebar dilengkapkan lagi menerusi kehadiran muncung ekzos berkembar dan lampu LED tajam yang menampilkan grafik ‘chicane’ yang sama. Model prototaip ini memakai rim berukuran 19 inci yang didatangkan dalam warna matte. Tersembunyi di sebaliknya adalah cakera brek Brembo yang besar dengan angkup berwarna kuning.
Sudah tentu, anda akan menemui beberapa elemen yang diambil daripada model-model sebelum ini seperti cetakan nama ‘Integra’ yang terletak di bahagian bawah lampu hadapan sebelah pemandu dan lampu belakang sebelah penumpang. Bukan itu sahaja, warna Indy Yellow Pearl ini juga merupakan satu penghormatan kepada warna Pheonix Yellow yang digunakan pada Integra Type R keluaran 2000 hingga 2001. Ia dipadankan dengan aksen Berlina Black pada bumbung, spoiler, cermin sisi, diffuser dan gril.
Acura mengesahkan yang Integra akan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo empat silinder yang menghasilkan 200 hp pada 6,000 prm dan 260 Nm pada 1,800 rpm di dalam Civic Si. Untuk Integra, tidak pasti sama ada enjin tersebut akan ditala untuk menghasilkan kuasa yang lebih tinggi namun apa yang kami tahu, jentera ini hadir dengan transmisi manual enam kelajuan dan Limited-Slip Differential.
No Comment