BMW 218i Gran Coupe Dapat Sistem Live Cockpit Professional
BMW Malaysia mengumumkan bahawa BMW 218i Gran Coupé yang dipasang secara tempatan kini hadir dengan pengemaskinian teknikal dalam bentuk sistem infohibur BMW Live Cockpit Professional, susulan pelancarannya pada Oktober tahun lalu.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “BMW Live Cockpit Professional baharu menekankan komitmen kami terhadap digitalisasi dan individualisasi merentasi seluruh portfolio BMW. Sementara kami terus menyuntik nafas kepada mobiliti masa hadapan di Malaysia, inovasi akan kekal menjadi fokus utama di BMW.”
Sistem BMW Live Cockpit Professional itu meliputi kluster paparan instrumen 10.25 inci (sebelum ini 5.1 inci) dan paparan informasi sentral 10.25 inci (sebelum ini 8.8 inci), kedua-duanya dirumus menggunakan konsep paparan baharu yang bertujuan untuk membekalkan maklumat yang tepat dan relevan dengan segera.
Mengambil pendekatan ‘konten dahulu’ dalam memaparkan informasi, paras bahan api, kelajuan, rpm, dan suhu enjin kini dipamerkan dalam bentuk tiub gelung dan telah disusun bagi melapangkan kawasan di tengah untuk paparan navigasi serta fungsi lain.
Turut menyempurnakan pengalaman pemanduan pengguna ialah aneka fungsi dan widget yang boleh dikonfigurasi, termasuk papan skor sukan, data pemanduan, penggunaan bahan api dan efisiensi, meter daya G, media, serta radio.
Jumlah warna yang dikurangkan serta grafiknya yang kini lebih kemas menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang lebih baik dan konsisten. Bergantung kepada mod Pengalaman Pemanduan yang dipilih (Sport, Comfort, Eco Pro), warna dan iras yang seragam akan dipersembahkan merentasi kluster paparan informasi serta paparan informasi sentral.
Bukan itu sahaja, sistem navigasi dan hiburan kenderaan tersebut, Pembantu Peribadi Pintar BMW boleh diaktifkan dengan menyebut “Hey BMW!” atau istilah pengaktifan lain yang telah diperibadikan.
Harga jualan 218i Gran Coupe baharu selepas pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan adalah RM204,177 tanpa waranti lanjutan dan pakej servis. Dengan pakej tersebut, model ini dijual pada harga RM216,367.
No Comment